am@hmetro.com.my
Ipoh: Pakar perubatan forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) tidak menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang meninggalkan dunia selepas dilanggar kenderaan, Disember tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke-24, Dr Ain Nurfarahana Hamdan, 35, berkata pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada mayat Zaharif yang boleh dikaitkan dengan CPR.
Beliau memberi penegasan itu ketika menjawab soalan pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz pada hari ke-12 prosiding perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi.
Dr Ain Nurfarahana berkata, jika kecederaan akibat CPR terjadi, kesannya boleh dilihat pada lebam tengah dada, lebam pada kantung jantung dan kepatahan tulang rusuk sebelah hadapan, namun ketiga-tiga situasi itu tidak berlaku dalam kes ini.
Ditanya berkenaan rumusan bedah siasat yang menyatakan kematian Zaharif berpunca kecederaan parah pada dada dan abdomen akibat perlanggaran jalan raya, saksi pakar itu menjelaskan ia merujuk kecederaan pada dada, pengumpulan darah dalam rongga dada, koyak pada paru-paru kiri, hati pecah serta lebam pada tisu mesenteri.
Afzainizam: Kecederaan pada dada dan abdomen si mati ini parah dan menyebabkan kematian. Apa maksud parah?
Dr Ain Nurfarahana: Kecederaan menyeluruh sehingga menyebabkan kematiannya.
Afzainizam: Bagaimana tentang peluang mangsa untuk hidup berdasarkan kecederaan yang doktor katakan tadi?
Dr Ain Nurfarahana: Tiada jaminan si mati hidup dengan kecederaan dialaminya.
Ketika pemeriksaan balas peguam bela M Athimulan, Dr Ain Nurfarhana tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa kematian Zaharif adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya.
Katanya, penentuan cara kematian memerlukan siasatan secara menyeluruh dan tidak bergantung hanya kepada hasil bedah siasat.
Athimulan: Adakah awak bersetuju bahawa kematian ini adalah disebabkan kemalangan jalan raya?
Dr Ain Nurfarhana: Tidak
Athimulan: Kenapa? Kematian ini kerana apa?
Dr Ain Nurfarahana: ‘Road traffic crash’ yang saya rujuk perlanggaran di jalan raya tidak sama dengan maksud kemalangan jalan raya.
Athimulan: Kematian kerana apa?
Kecederaan akibat apa? Akibat kemalangan?
Dr Ain Nurfarahana: Akibat perlanggaran di jalan raya.
Athimulan: Ini kemalangan kan?
Dr Ain Nurfarahana: Perlanggaran jalan raya tidak semestinya kemalangan.
Athimulan: Adakah awak cakap ini pembunuhan?
Dr Ain Nurfarahana: Saya tidak dapat pastikan daripada hasil bedah siasat.
Mengikut pertuduhan, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd