Cradle masih berbisa

Cradle masih berbisa


mohamadridzuan@hmetro.com.my

KEMUNCULAN kumpulan Cradle menerusi album terbaharu berjudul Hela Nafasku terbitan Rasa Karya bersama dengan barisan anggota terkini, menimbulkan keterujaan buat peminat setia mereka.

Justeru tidak menghairankan apabila showcase istimewa sempena kemunculan album ini yang berlangsung di Poolside Bistro, Hotel Ideas, Kuala Lumpur baru-baru ini, mendapat sambutan menggalakkan penonton.

Tambah istimewa kerana persembahan ini turut menampilkan ‘Papa Rock’ Datuk Ramli Sarip yang juga pemilik Rasa Karya sebagai undangan khas.

Cradle diterajui pengasasnya, Addy Rasidi sebagai pemain gitar utama, Eiz Mohd (vokalis), Zul Wahab (pemain bass) dan Adha Lizam (dram) dilihat sudah bersedia memberikan persembahan semaksima mungkin.

Showcase itu juga menjadi medan ujian sulung buat Eiz yang dahulunya bersama Gerilia. Penonton mahu melihat sejauh mana keserasian antaranya dengan kumpulan berusia tiga dekad ini.

Persembahan dibuka dengan alunan lagu-lagu dari album Hela Nafasku dimulakan dengan lagu Ku Mencari, Ikrar Ku, Pesona dan Sementara.

Ketika ini, penonton dan penulis sendiri sudah terpikat dengan nyanyian Eiz yang bersatu dengan kemantapan permainan muzik anggota kumpulannya.

Eiz jelas memanfaatkan pengalaman luasnya bersama Gerilia untuk memberikan persembahan terbaik buat Cradle. Suaranya yang lantang dan padu memberi nafas berbeza kepada Cradle.

Segmen kedua menampilkan mereka dengan lagu Lara, Bangkit dan Ayuh dengan Eiz masih beraksi penuh bertenaga.

Kehangatan persembahan diteruskan lagi menerusi kemunculan Ramli Sarip dengan lagu Istilah Bercinta, Panah Beracun dan Batu.

Kemuncak persembahan hadir menerusi lagu Teratai yang menggandingkan duet Ramli Sarip dan Eiz sekali gus memberikan kepuasan kepada semua yang hadir pada malam itu.

Sepatah kata, Eiz membuktikan penyertaannya dalam Cradle tepat, manakala Cradle pula membuktikan mereka kekal berbisa biarpun agak lama menyepi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top