am@hmetro.com.my
Selepas hampir dua dekad menyepi, band rock alternatif, Cradle kembali menggegarkan persada muzik tanah air dengan penerbitan album studio baharu berjudul Hela Nafasku.
Cradle yang mula dikenali tiga dekad lalu dengan aliran muzik grunge era 90-an, kini tampil dengan barisan anggota baharu bagi merealisasikan impian seni mereka yang tertangguh.
Pemain gitar utama yang juga pengasas Cradle, Addy Rasidi berkata, album Hela Nafasku bukan sekadar tanda kemunculan semula, tetapi usaha meneruskan legasi karya berjiwa
Nusantara yang dimulakan dengan single pertama berjudul Ayuh!
Menurutnya, album ketiga yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan ini amat bermakna kerana ia dilancarkan pada tahun ke-30 penubuhan band biarpun ketika ini penerbitan album penuh kurang diminati berbanding single.
“Saya sudah lama memendam hasrat untuk mengembalikan Cradle, tetapi saya hanya memberikan tumpuan dengan projek solo.
“Kini tiba masa untuk Cradle bangkit sebagai legasi untuk generasi baharu yang direalisasikan menerusi Hela Nafasku,” katanya.
Addy kini menerajui Cradle bersama anggota baharu iaitu Eiz Mohd sebagai vokalis, Zul Wahab (bass) dan Adha Lizam (dram).
Menurutnya, pada peringkat awal, hanya dia dan Eiz yang memasuki studio dan proses mencari pemuzik lain memakan masa lama.
“Kehadiran Zul Wahab sebagai pemain bass berlaku secara tidak sengaja, apabila berlaku sesi santai dengan juruteknik gitar, Allahyarham Aji menyebabkan Zul bersetuju menyertai kumpulan ini,” katanya.
Katanya, kehadiran Adha membawa suntikan tenaga baharu bagi kumpulan itu selepas dia menunjukkan potensi melalui video persembahan yang tular.
“Adha tiba-tiba menghubungi saya untuk bertanya sama ada Cradle masih memerlukan pemain dram atau tidak.
“Sebaik melihatnya bermain, dia ditakdirkan menjadi ahli kumpulan baharu ini,” katanya.
Cradle mula dikenali menerusi album pertama Gurindam Keluli yang dilancarkan pada 1996.
Nama band ini melonjak menerusi album kedua Ceritera Awan yang memenangi trofi Lagu Terbaik Tahun 2008 menerusi lagu berjudul Ayu dan turut diiktiraf sebagai Album Terbaik Tahun 2008 di Anugerah Planet Muzik.
Sementara itu, Eiz yang pernah menjadi vokalis Gerilia menyifatkan penjenamaan semula Cradle sebagai satu cabaran dan tanggungjawab besar buat dirinya.
“Saya yakin gabungan kami berempat menjadikan Cradle tampil unik, terutama daripada segi muzik dan warnanya.
“Ini kerana Cradle membawa satu aliran muzik yang hampir tidak dilakukan band tempatan yang lain,” katanya.
Album Hela Nafasku memuatkan 11 lagu baharu dengan sebahagiannya hasil ciptaan Addy dan Eiz.
Bersempena kemunculan album baharu, kumpulan ini mengadakan persembahan istimewa Cradle Live! di Poolside Bistro, Hotel Ideas, Kuala Lumpur pada 14 November ini.
Turut dijangka tampil ialah legenda rock Datuk Ramli Sarip.
© New Straits Times Press (M) Bhd






