Cristiano Ronaldo bukan pemain terhebat sepanjang zaman – Benzema

Cristiano Ronaldo bukan pemain terhebat sepanjang zaman – Benzema


LEGENDA Real Madrid, Karim Benzema menyifatkan bekas rakan sepasukan lamanya, Cristiano Ronaldo bukanlah pemain bola sepak terhebat dalam sejarah.

Ketika Cristiano Ronaldo berada di kemuncak kariernya, Benzema pernah menjadi rakan gandingan di bahagian serangan Real Madrid dan memainkan peranan penting dalam membantu bintang Portugal itu menyerlah di Santiago Bernabeu.

Bagaimanapun, dalam satu wawancara baru-baru ini, Benzema mengakui Cristiano Ronaldo bukan pilihannya sebaliknya, legenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima selayaknya dinamakan sebagai pemain terbaik sepanjang zaman.

“Sesiapa sahaja boleh mengatakan apa yang mereka mahu, jika dia (Cristiano Ronaldo) menganggap dirinya sebagai yang terbaik dalam sejarah, maka itu adalah haknya.

“Namun, bagi saya, pemain terbaik adalah Ronaldo dari Brazil. Saya tidak suka membuat perbandingan antara pemain kerana setiap orang mempunyai kisah mereka sendiri,” katanya.

Perdebatan mengenai siapa pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman sentiasa menjadi topik hangat, terutama dengan persaingan sengit antara Ronaldo dan Lionel Messi.

Kedua-dua pemain ini sering menjadi calon utama dalam perbincangan tersebut dan dalam satu temu bual baru-baru ini bersama media antarabangsa, Cristiano Ronaldo sendiri menegaskan keyakinannya bahawa dia adalah pemain paling lengkap dalam sejarah bola sepak.

“Saya percaya saya adalah pemain paling lengkap yang pernah wujud. Saya menghormati mereka yang lebih menyukai Messi, Pele, atau Maradona.

“Tetapi untuk mengatakan bahawa Cristiano bukan pemain paling lengkap adalah satu pembohongan. Secara jujur, saya tidak pernah melihat sesiapa yang lebih baik daripada saya,” ujar Cristiano Ronaldo baru-baru ini.

Crsitiano Ronaldo dianggap sebagai pemain terbaik sepanjang zaman selepas merekod angka gol luar biasa sebanyak 924 gol dalam kariernya setakat ini.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu juga mendahului carta penjaring gol antarabangsa dengan 135 gol untuk Portugal.



Source link

OR

Scroll to Top