Cristiano Jr (dua, kanan) membantu Portugal B-15 menang Kejohanan Antarabangsa Vlatko Markovic. Foto AFP
ANAK kepada bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo, iaitu Cristiano Ronaldo Jr, mencipta nama apabila menjaringkan dua gol pertamanya untuk skuad bawah 15 (B-15) Portugal dalam kemenangan 3-2 ke atas Croatia.
Kemenangan itu membolehkan Portugal muncul juara Kejohanan Antarabangsa Vlatko Markovic yang berlangsung di Croatia sepanjang minggu lalu.
Dalam penampilan keempat bersama skuad B-15 Portugal, penyerang muda dari akademi Al Nassr itu tidak menunggu lama untuk mencipta impak apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 menerusi rembatan kaki kiri yang cantik.
Pemain berusia 14 tahun itu, yang menyarung jersi nombor 7, turut meraikan jaringan berkenaan dengan gaya ‘Siuuu’ yang sinonim dengan bapanya.
Cristiano Jr menambah jaringan kedua sebelum tamat separuh masa pertama menerusi tandukan jarak dekat, sebelum dikeluarkan pada minit ke-54.
Persekutuan Bola Sepak Portugal turut memuat naik ucapan tahniah di Instagram berbunyi: “SIUUUU pertama Cristiano Jr bersama Portugal!”
Cristiano Ronaldo, 40, kini memegang rekod penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa dengan 136 gol sejak penampilan pertama bersama Portugal pada tahun 2003.