Croatia 2025: Pengalaman, pembelajaran bina skuad mantap masa depan

Croatia 2025: Pengalaman, pembelajaran bina skuad mantap masa depan


PENGENDALI pasukan hoki dalam dewan lelaki negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi menyifatkan pengalaman diraih anak buahnya sepanjang kempen Piala Dunia Croatia 2025, pembelajaran berguna untuk membentuk skuad mantap pada masa depan.

Malah katanya, banyak perkara positif juga diraih skuad negara pada penampilan pertama temasya yang berlangsung di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia itu.

“Alhamdulillah kita menang pada aksi terakhir ke atas Trinidad & Tobago untuk berada di kedudukan ke-11 secara keseluruhan.

“Pemain-pemain sudah beri yang terbaik, kita tahu Piala Dunia ini adalah kejohanan yang tinggi.

“Ia satu pengalaman dan pembelajaran yang terbaik kita dapat di sini untuk dibawa pulang untuk membentuk pasukan masa depan,” kata Rodhanizam.

Antara aksi menarik Malaysia menentang Trinidad & Tobago di Porec, Croatia. Foto FIH/World Sport Pics

Skuad negara sebelum itu menunaikan janji untuk tidak pulang di kedudukan tercorot apabila menewaskan Trinidad & Tobago, 6-4 dalam perlawanan penentuan tempat ke-11 dan 12 pada Ahad.

Kemenangan itu juga merupakan yang pertama diraih anak buah Rodhanizam sepanjang temasya berlangsung sebelum ini.

Anak buah Mohd Rodzhanizam Mat Radzi mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kedudukan terikat 3-3 pada separuh masa pertama untuk mencatatkan kemenangan.

Trinidad & Tobago terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gol padang Mickell Pierre pada minit ketujuh, diikuti Darren Cowie (m-10).

Malaysia membalas menerusi dua jaringan Ashran Hamsani sebelum Khaliq Hamirin kemudian memastikan pasukannya memimpin permainan minit ke-17.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Teague Marcano kembali meletakkan Trinidad & Tobago semula dalam permainan minit ke-20 separuh masa pertama.

Najmi Farizal Jazlan kemudian tampil meledak gol minit ke-23 memadamkan jaringan awal babak kedua yang dihasilkan pemain Trinidad & Tobago, Jordan Vieira minit ke-21.

Anak buah Rodzhanizam kemudian menambah lagi dua gol dengan Khaliq Hamirin menjaringkan gol keduanya (m-33), diikuti Faridzul Afiq Mohd (m-37) untuk memberikan Malaysia kemenangan pertama.

Sementara itu, Rodhanizam turut berterima kasih kepada pemain-pemain, pengurusan dan Konfederasi Hoki Malaysia serta semua yang memberi sokongan kepada skuad sepanjang persiapan dan perlawanan di Croatia.

INFO

Piala Dunia Hoki Dalam Dewan Croatia 2025

Kumpulan B

Malaysia 4-12 Jerman

Malaysia 2-5 Argentina

Malaysia 3-0 Iran

Penentuan Tempat Kesembilan dan ke-12

Malaysia 2-6 Argentina

Penentuan Tempat Ke-11 dan ke-12

Malaysia 6-4 Trinidad & Tobago



Source link

OR

Scroll to Top