Crystal Palace impi tamatkan penantian 119 tahun

Crystal Palace impi tamatkan penantian 119 tahun


Crystal Palace idam kejutkan City. Foto AFP

CRYSTAL Palace berpeluang mencipta sejarah apabila turun menentang Manchester City di pentas akhir Piala FA di Stadium Wembley, Sabtu ini.

Kelab dari selatan London itu tidak pernah meraih sebarang trofi utama sejak ditubuhkan 119 tahun lalu, meskipun pernah dua kali menjadi naib juara Piala FA.

Namun, aksi cemerlang mereka kebelakangan ini menyemarakkan semangat skuad The Eagles untuk menamatkan kemarau kejuaraan.

Palace hadir ke Wembley dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 minggu lalu, sekali gus menyamai rekod mata tertinggi mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) – 49 mata – dengan berbaki dua perlawanan.

Di bawah kendalian Oliver Glasner, mereka mula menunjukkan perkembangan positif sejak musim lalu apabila menamatkan saingan dalam kelompok 10 teratas buat pertama kali dalam era EPL.

Meskipun kedudukan itu sukar diulangi musim ini, kejayaan mara ke final hasil kemenangan bergaya 3-0 ke atas Aston Villa di separuh akhir cukup membuktikan keampuhan skuad Glasner.

Tonggak utama mereka, Eberechi Eze, kini menjadi ancaman utama buat City apabila meledak lima gol dalam empat perlawanan terakhir.

Eze antara empat pemain antarabangsa England yang dijangka diturunkan bersama Dean Henderson, Marc Guehi dan Adam Wharton.

“Ia amat bermakna buat kami dan seluruh penyokong. Kami akan berikan segalanya untuk menang. Kami yakin dengan kemampuan kami dan percaya boleh menewaskan mana-mana pasukan,” kata Eze.

Jika Palace muncul juara, mereka juga bakal melakar satu lagi sejarah iaitu layak ke pentas Eropah buat pertama kali dengan tiket ke Liga Europa.



Source link

OR

Scroll to Top