Crystal Palace jinakkan Liverpool di Wembley

Crystal Palace jinakkan Liverpool di Wembley


Palace juara Perisai Komuniti selepas menjinakkan Liverpool di Wembley. Foto Agensi

CRYSTAL Palace sekali lagi menjadi duri dalam daging kelab gergasi England apabila menewaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley pada Ahad.

Penjaga gol Dean Henderson muncul wira The Eagles apabila menyelamatkan sepakan Alexis Mac Allister dan Harvey Elliott, manakala Mohamed Salah pula tersasar, sebelum pemain muda yang baru dimasukkan, Justin Devenny menyempurnakan penalti kemenangan.

Liverpool membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 menerusi Hugo Ekitike sebelum Jean-Philippe Mateta menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti pada minit ke-17.

Jeremie Frimpong mengembalikan kelebihan The Reds pada minit ke-23, namun Ismaila Sarr menyamakan kedudukan pada minit ke-68 untuk skuad bimbingan Oliver Glasner.

Kejayaan ini bermakna Palace, yang menjulang Piala FA tiga bulan lalu, kini mengutip dua trofi di Wembley dalam tempoh singkat, sekali gus menjadi kelab pertama memenangi Perisai Komuniti pada penampilan sulung sejak Derby County pada 1975.

Sementara itu, pengendali Liverpool, Arne Slot, memberi pujian kepada barisan serangan baharu The Reds, namun tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap kelemahan benteng pertahanan selepas tewas kepada The Eagles.

“Perasaan saya bercampur baur. Dari segi permainan menyerang menentang Crystal Palace kelihatan lebih baik berbanding musim lalu.

“Namun kami bolos dua gol, jadi kami perlu lebih perkukuhkan bahagian pertahanan,” katanya.

Dua muka baharu The Reds, Ekitike dan Frimpong, menjadi tumpuan di Wembley apabila mempamerkan aksi meyakinkan, termasuk mencetak gol.

Slot memuji penyudah Ekitike dan Frimpong, namun sekali lagi menegaskan keperluan Liverpool memperkukuhkan bahagian benteng.

“Gol pertama adalah hasil gerakan berpasukan yang baik, contoh kreativiti kami yang akan terus meningkat,” tambahnya.



Source link

OR

Scroll to Top