“Cukup-Cukuplah Malukan Muay Thai” – Jojo Ghazali Tempelak Gimik Murahan Demi Populariti

“Cukup-Cukuplah Malukan Muay Thai” –  Jojo Ghazali Tempelak Gimik Murahan Demi Populariti


Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali, tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila sukan yang diperjuangkan sejak sekian lama kini dijadikan bahan gimik untuk meraih publisiti murahan semata-mata.

Atlet muda berusia 18 tahun yang lebih dikenali sebagai Jojo itu menegur tindakan Yusuf Azmi, selepas mendakwa aktivis berkenaan sengaja mencipta sensasi bagi mempromosikan kejohanan Warzone World Championship (WWC) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menurut Jojo, tindakan sebegitu bukan sahaja mencalarkan imej sukan tempur itu, malah menghina usaha keras komuniti Muay Thai yang selama ini berjuang memartabatkannya sebagai seni bela diri sebenar, bukan sekadar hiburan.

“Sudah-sudahlah malukan sukan ni. Saya bukan kurang ajar dengan orang tua, tapi kalau perangai macam budak, siapa nak hormat?

“Saya, keluarga dan ramai lagi dalam komuniti ni dah lama bergiat sebelum ‘pak cik’ datang. Kami bangunkan Muay Thai dari kosong, tapi bila dah jadi hype, datang pula buat perangai macam tu. Siapa yang tak marah?” katanya.

Jojo turut menzahirkan kebimbangan apabila aksi dan gimik berlebihan boleh memberi contoh tidak baik kepada masyarakat, terutama kanak-kanak yang mudah terpengaruh dengan kandungan di media sosial.

“Tolonglah, penonton bukan tak ada akal nak percaya dengan gimik sampah macam tu. ‘Pak cik’ nak tunjuk alim, tapi tak fikir ke budak-budak yang tengok video tu akan ikut?

“Sekarang pun dah banyak kes melibatkan remaja sebab terpengaruh dengan kandungan macam ni. Jangan tambah masalah, jadilah sebahagian daripada penyelesaian. jangan fikir nak duit cepat saja,” tegasnya.

Terdahulu, tular video memaparkan pergaduhan antara Yusuf Azmi dan petarung Indonesia, Yunus Martin, menjelang aksi WWC International Influencer Super Lightweight Champion.

Kejohanan WWC dijangka menghimpunkan 34 petarung profesional dan legenda dari lima negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Iran dan India.



Source link

OR

Scroll to Top