Penerbit, pelakon dan usahawan, Datuk Firdaus Nadxaman berkongsi pengalaman kurang menyenangkan membabitkan segelintir artis veteran yang dianggap tidak bertanggungjawab
Firdaus yang merupakan penganjur acara popular, Havoc Event & Management Sdn. Bhd. tampil menjelaskan alasan mengapa mereka kini lebih berhati-hati serta tegas dalam menilai selebriti yang bakal terlibat dalam siri jelajah mereka kerana sikap sesetengah pihak yang tidak menghargai peluang diberikan sebelum ini.
Antara isu yang timbul termasuk kes di mana peluang berniaga yang sepatutnya dimanfaatkan oleh artis tersebut disalahgunakan dengan menjual slot kepada pihak lain.
“Kami pernah memberi peluang kepada artis veteran di Havoc, tapi apa yang berlaku ia dijual kepada orang lain. Perkara ini dah banyak kali berlaku, jadi kami ambil keputusan cukuplah sampai sini kerjasama dengan pihak yang tidak bertanggungjawab itu,” tegas Firdaus.

Selain itu, penganjur bersama, Faizul Mohd Yusof turut melahirkan rasa kecewa apabila janji untuk membantu mempromosikan acara juga tidak ditunaikan.
“Ada juga yang janji nak datang bagi promosi ‘event’ tapi tiada. Jadi, lebih baik kami berikan peluang kepada artis-artis yang ada produk sendiri, boleh turun padang dan mempunyai usaha,” katanya.
Tambah Firdaus dan Faizul, pendirian mereka yang kini mahu memberi fokus kepada rakan kolaborasi yang benar-benar serius serta komited untuk bergerak bersama dalam membangunkan ekosistem keusahawanan.
Walaupun berdepan isu seperti ini, Havoc Event tetap meneruskan tradisi penganjuran acara besar mereka menerusi Selangor Havoc Raya Fest 2.0 2026, yang akan berlangsung selama 96 jam tanpa henti bermula 12 hingga 16 Mac 2026 bertempat di Hall 1 & 2, Setia City Convention Centre (SCCC) dengan tema “Havoc-nya Raya di Kampung”.


Majlis pelancaran yang diadakan pada Isnin lalu turut dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Bagi memeriahkan festival, pihak penganjur menampilkan barisan pengacara popular antaranya Fad Bocey, Sharif Zero, Danial Zaini serta duo Epul dan Talam.
Antara tarikan utama yang bakal menanti pengunjung termasuk kehadiran kira-kira 200 vendor jualan yang menawarkan pelbagai keperluan persiapan Raya serta bazar berbuka puasa, selain pengisian kerohanian seperti iftar, solat Tarawih dan sahur berjemaah yang memberi peluang untuk masyarakat berkumpul dalam suasana kekeluargaan. Acara ini turut menampilkan cabutan bertuah istimewa dengan hadiah utama berupa sebuah kereta, sekali gus menjadi tarikan tambahan kepada orang ramai untuk hadir dan memeriahkan festival.

Festival kali ini bukan sekadar medan perniagaan, sebaliknya platform memperkukuh ekonomi komuniti secara berterusan. Orang ramai dijemput hadir untuk menikmati suasana Raya ala kampung dalam bandar yang akan berlangsung siang dan malam sepanjang empat hari acara berlangsung.






