JOHOR BAHRU – Tiada tangkapan suspek baharu dalam kes culik seorang ahli perniagaan di daerah ini yang dilaporkan pada 13 Oktober lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, siasatan masih dijalankan terhadap 13 individu yang ditahan sebelum ini termasuk mereka yang sudah direman sehingga 29 Oktober ini.
“Soal sasiat masih berjalan, mereka masih dalam tahanan reman,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Bazar Deepavali Jalan Trus di bandar raya ini hari ini.
Kumar mengulas mengenai perkembangan terkini kes culik ahli perniagaan tersebut selepas pihaknya menahan 13 individu berusia 23 hingga 58 tahun dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini bermula pukul 9 malam Rabu sehingga awal pagi Khamis.
Menurutnya, seorang daripada suspek yang ditahan itu merupakan ahli keluarga mangsa.
Sebelum ini, media melaporkan seorang ahli perniagaan diculik oleh beberapa lelaki dalam kejadian di daerah ini sebelum dipercayai dibebaskan selepas wang tebusan dibayar.
Peniaga berkenaan yang berusia 59 tahun, ketika itu dijadualkan untuk ke luar negara bagi urusan perniagaan sebelum dilarikan pukul 5 pagi, 13 Oktober lalu.
Difahamkan ahli keluarga ahli perniagaan itu mendakwa terpaksa membayar RM20 juta bagi tujuan membebaskan mangsa.
Sementara itu, Kumar memberitahu, seramai 1,534 pegawai dan anggota polis dari seluruh negeri bertugas sempena perayaan Deepavali tahun ini.
Masing-masing seramai 95 orang akan ditempatkan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), untuk mengatasi kesesakan.
Selain itu katanya, mereka yang pulang bercuti sempena Hari Raya Deepavali boleh memanfaatkan aplikasi telefon pintar Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
“Orang ramai termasuk mereka yang tidak menyambut Deepavali tetapi pergi bercuti dan balik kampung, boleh berdaftar gunakan aplikasi ini.
“Dengan cara ini kita akan pantau dan pastikan kawasan perumahan yang tinggalkan akan dibuat rondaan. Mereka juga boleh berdaftar dengan datang ke balai dan isi borang,” katanya.
Tambahnya, setakat ini sudah 800 mendaftar menerusi aplikasi VSP dan mengisi borang ketiadaan .- MalaysiaGazette