Penyanyi, Aisha Retno meluahkan rasa terharu apabila lagu raya terbaharunya berjudul Jodoh Lebaran menerima sambutan hangat daripada peminat sejak dilancarkan.
Bukan sahaja berjaya meraih kedudukan nombor satu di carta iTunes, malah video muzik (MV) lagu tersebut turut mencatat lebih 100,000 tontonan dalam tempoh singkat selepas dilancarkan pada 6 Mac lalu.

Lebih membanggakan, Aisha yang mewakili generasi muda atau Gen Z tampil berani mengetengahkan elemen muzik tradisional Melayu menerusi lagu tersebut.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), pelantun lagu Ketipak Ketipung Raya itu mendedahkan lagu berkenaan sebenarnya diinspirasikan daripada rentak joget klasik yang menjadi sebahagian daripada warisan muzik Nusantara.
“Gembiranya, terharunya. Untuk yang bertanya, penulisan lagu ini sedikit sebanyak mengambil esensi daripada ‘pakem’ lagu rentak joget lambak Melaka dan juga rentak joget Pahang, terutamanya pada bahagian intro,” katanya.
Menurut Aisha, dia juga berharap lagu tersebut dapat membuka minat generasi muda untuk lebih mengenali serta menghargai keindahan muzik tradisional Melayu.
“Begitulah langgamnya. Anak-anak muda yang nak belajar dengan lebih mendalam tentang dunia rentak joget Melayu, jom sama-sama belajar dengan saya.
“Budaya kita sangat indah. Budaya Nusantara, muzik Nusantara sangat indah,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aisha mengakui pelancaran lagu raya tersebut mempunyai misi tersendiri apabila dia ingin memperkenalkan semula elemen muzik tradisional kepada generasi baharu.
“Saya keluarkan lagu raya ini dengan beberapa tujuan. Antaranya untuk melestarikan muzik tradisional yang kita ada melalui lagu raya, sebagai wakil Gen Z.
“Saya cuba ya, maaf kalau ada salah silap,” katanya.






