'Curahan' ilmu artis senior memang diperlukan

'Curahan' ilmu artis senior memang diperlukan


am@hmetro.com.my

Memulakan karier lakonan sejak 2022, nama pelakon muda, Erysha Emyra semakin meniti di bibir peminat industri hiburan tanah air ketika ini.

Memiliki pakej lengkap sebagai pelakon, pemilik nama sebenar, Nur Erysha Emyra Zakaria, 26, ini tampak mengikut jejak ibunya yang juga dramatis, Datin Seri Noniswara Baharudin yang popular sekitar 1990-an dan 2000-an.

Malah, wajahnya kerap muncul menghiasi kaca televisyen apabila diberi peluang memegang peranan sebagai heroin ketika ini.

Antara drama lakonannya yang mendapat sambutan hebat dari penonton ialah Aku Bukan Ustazah musim 1 & 2, Kelas Tahanan Cikgu Hiragi, Cinta Untuk Sekali Lagi dan Rumah Tanpa Luka.

Mewakili artis Generasi Z, Erysha yang juga pempengaruh media sosial berkata, sebagai artis baharu, dia perlu menyedari ruang dan peluang diberikan dalam industri hiburan.

“Kita kena tahu membawa diri bila bekerjasama dengan artis senior di set penggambaran.

“Tak kisah macam mana pun kerja kita dalam industri kerana kerja di pejabat pun pastinya kita kena hormat orang yang lebih tua,” katanya yang ditemui di pertunjukan fesyen Bulan Bintang Next Chapter 2026, baru-baru ini.

Erysha berkata, dia juga memahami sikap artis Generasi Z yang sentiasa memegang telefon bimbit kerana mereka mahu buat kandungan untuk media sosial di set.

“Tiada siapa nak halang pun kerana mereka boleh buat ‘content’ (kandungan) kerana ia juga akan beri publisiti yang bagus pada drama lakonan itu.

“Tapi mereka juga kena pandang kiri dan kanan serta kena sedar ruang di mana ada artis senior dan veteran yang perlu dihormati di set berkenaan,” katanya.

Kata Erysha lagi, sebagai artis muda dia juga menghormati artis senior dan veteran di set penggambaran.

“Saya sendiri memang akan bersalam dengan semua orang di set. Saya juga selalu berasa diri ‘kecil’ dan segan untuk berbual dengan artis senior kerana bimbang akan ganggu fokus mereka di set.

“Kecuali, selepas saya tegur dahulu dan mereka macam mahu berborak barulah saya berbual dengan mereka.

“Kadang-kadang, saya fikir mereka juga mahu ‘personal space’ (ruang peribadi), jadi kita ikut sahaja dan hormatilah,” katanya.

Mengenai perancangan karier pada tahun ini pula, kata pemenang trofi Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36, buat masa ini dia sibuk menjayakan kempen raya pelbagai jenama.

“Buat masa sekarang, saya nak fokus mempromosikan kempen raya jenama Bulan Bintang dan beberapa jenama lain terlebih dahulu.

“Insya-Allah, saya akan kembali masuk ke set penggambaran drama selepas (Hari) Raya (Aidilfitri) nanti,” katanya.

Ramadan bulan ibadah

Berkongsi aktiviti pada Ramadan yang bakal menjelang, kata Erysha, perancangan agenda seni termasuk projek drama baharu diatur oleh pasukan pengurusannya.

“Sebenarnya, saya bukanlah nak tolak rezeki, tetapi jika pengurusan beritahu saya kena masuk set penggambaran pada Ramadan ini, saya okay sahaja.

“Mungkin saya akan terbabit dalam telefilem dan cerita pendek.

“Tapi kalau bulan puasa tahun ini dapat banyak duduk di rumah dan boleh meluangkan masa dengan keluarga pun saya sangat bersyukur kerana saya benar-benar mahukannya,” katanya.

Erysha juga menyifatkan Ramadan adalah bulan ibadah untuk kembali memperbaiki amalan sedia ada.

“Saya tak nak macam riak tapi saya suka Ramadan untuk kita fokus pada amalan berpuasa sebab macam-macam kita nak buatkan sebelum ini.

“Kita selalu leka dengan kehidupan dunia dan kadang kadang kita terlupa untuk ambil momen untuk betul-betul beribadah.

“Jadi, saya fikir bulan puasa adalah masa untuk saya ‘reconnect’ dan perbaiki semuanya,” katanya.

Pada masa sama, kata Erysha lagi, menyambut Ramadan dan momen bersama keluarga sangat penting buatnya.

“Kami sekeluarga memang akan berbuka puasa dan solat tarawih berjemaah di rumah pada Ramadan.

“Ada ustaz yang dijemput datang ke rumah setiap hari untuk solat tarawih dan pada 10 hari terakhir Ramadan kita akan buat solat tahajud bersama-sama.

“Saya suka untuk melakukan perkara itu kerana kadang-kadang bila saya masuk set penggambaran, tak sempat nak balik rumah untuk solat tarawih bersama keluarga.

“Jadi, saya gembira kalau tahun ini dapat melakukannya, insya-Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top