Curi kabel naik Jaguar, dicekup lepas terbabit kemalangan

Curi kabel naik Jaguar, dicekup lepas terbabit kemalangan


am@hmetro.com.my

Kulim: Seorang lelaki disyaki terbabit kegiatan curi kabel syarikat telekomunikasi berjaya dicekup polis selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan motosikal di tepi jalan Junjong, hari ini.

Suspek berusia 36 tahun ditahan jam 9.30 pagi hari ini manakala rakan sejenayahnya pula berjaya melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, hasil semakan pada kereta jenis Jaguar kelabu yang dinaiki suspek itu mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu dan nombor casis kenderaan itu didapati tidak wujud.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek disyaki masuk ke kawasan Junjong untuk mencuri kabel bersama rakannya yang masih bebas itu.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki dua suspek itu dipercayai terlanggar motosikal orang awam dan ketika itu suspek cuba melarikan diri namun gagal.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim serta anggota Balai Polis Junjong menahan suspek di lokasi kejadian.

“Namun rakan suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesannya sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifli berkata, kereta Jaguar terbabit dirampas, peralatan mencuri kabel termasuk dadah jenis syabu.

“Suspek positif dadah jenis methampetamine serta mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah termasuk pernah tiga kali dihukum,” katanya.

Zulkifli berkata, pihaknya turut melakukan siasatan terhadap suspek susulan laporan berkaitan kegiatan curi kabel telekomunikasi di Bukit Jelutong, Kulim Hi Tech.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top