Dadah sintetik dominasi pasaran negara – KDN

Dadah sintetik dominasi pasaran negara – KDN



mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dadah sintetik dilihat mendominasi pasaran apabila penyalahgunaannya menjadi penyumbang tertinggi berbanding dadah jenis lain.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengakui pihaknya berdepan cabaran dalam membendung isu itu berikutan wujudnya dadah sintetik dalam kategori Amphetamine Type Stimulants (ATS).

“Antara punca yang menyebabkan masalah dadah sukar dibendung ialah perubahan trend daripada jenis dadah organik kepada sintetik…. Ini sangat mencabar.

“Berdasarkan statistik, seramai 115,410 orang terbabit dalam penyalahgunaan jenis ATS ini iaitu 74 peratus berbanding keseluruhan jenis dadah.

“Sehingga September lalu, penyalahgunaan jenis ganja kira-kira empat peratus iaitu 6,750,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd IsamMohd Isa (BN-Tampin) mengenai punca sehingga masalah dadah sukar dibendung dan sejauh mana persiapan dilaksanakan KDN dari segi penguatkuasaan, logistik dan rawatan pemulihan.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) menjalankan program rawatan di seluruh negara.

“Puspen dengan kapasiti maksimum 10,000 katil mengendalikan program rawatan pemulihan dalam institusi dengan jumlah 5,790 klien.

“Selain itu, AADK daerah diberi tugas kendalikan rawatan dan pemulihan dalam komuniti kepada 51,984 klien.

“AADK, kerajaan terutama KDN sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan dan kemahiran pegawai serta kepakaran kita untuk membanteras isu ini, namun usaha ini juga memerlukan kerjasama komuniti setempat supaya kita dapat menurunkan kadar penyalahgunaan dadah ini pada 2025,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top