Daging korban tidak disedekah kepada orang miskin

Daging korban tidak disedekah kepada orang miskin


– Advertisement –

Soalan:

Adakah betul amalan setengah peserta korban yang hanya memberi dagingnya kepada orang kaya sahaja seperti adik beradik dan jiran-jiran yang bukan dari kalangan orang miskin dan tidak diberi kepada faqir miskin?

– Advertisement –

Jawapan:

Cara yang dilakukan seperti itu adalah tidak betul dan tidak memadai.

Hendaklah diketahui bahawa wajib sedekahkan akan sebahagian daging korban kepada faqir miskin maka jika kesemuanya diberikan kepada orang kaya nescaya korbannya itu tidak memadai tetapi jika sebahagiannya sudah disedekahkan kepada orang miskin dan sebahagian lagi dihadiahkan kepada orang kaya maka hukumnya adalah harus dan memadai.

Ketahuilah bahawa tujuan utama ibadah korban itu ialah bersedekah daging kepada orang miskin dan orang susah kerana mereka tidak mampu membelinya dan bukan tujuannya untuk makan sendiri sesuka hati bersama kaum keluarga dan sahabat handai.

Dan yang afdhal ialah tuan korban memakan sedikit daripada daging korbannya kerana mengambil berkat daripadanya.

Firman Allah Taala:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya: “Maka kamu makanlah sebahagian dari daging korban itu dan berilah sebagai makanan kepada orang faqir yang kesusahan.” (Al-Haj: 28)

Berkata Imam Nawawi:

وَالْأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا

Ertinya: “Dan pendapat yang paling sahih ialah wajib sedekahkan (kepada orang miskin) akan sebahagian daging korban.” (Kitab Minhaj At-Talibin)

Dan berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

(وَالْأَصَحُّ وُجُوبُ التَّصَدُّقِ بِبَعْضِهَا) وَلَوْ جُزْءًا يَسِيرًا مِنْ لَحْمِهَا بِحَيْثُ يَنْطَلِقُ عَلَيْهِ الِاسْمُ عَلَى الْفُقَرَاءِ

Ertinya: “Dan pendapat yang paling sahih ialah wajib sedekahkan akan sebahagian daripada daging korbannya walau pun sedikit sekira-kira telah dinamakan bersedekah ke atas faqir miskin.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Dan berkata Syeikh Al-Ghamrawi:

وَالأَصَح وجوب التَّصَدُّق بِبَعْضِهَا وَلَو جُزْءا يَسِيرا من لَحمهَا

Ertinya: “Dan yang paling sahih ialah wajib sedekahkan sebahagian daging korban itu walaupun sedikit daripadanya.” (Kitab As-Siraj Al-Wahhaj)

Kesimpulannya, wajib sedekahkan sebahagian daging korban kepada faqir miskin dan amalan memberi daging hanya kepada orang yang kaya itu adalah tidak betul dan tidak memadai. Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 30/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Source link

OR

Scroll to Top