Dah dapat RM30 juta, mengaumlah!

Dah dapat RM30 juta, mengaumlah!


Laporan Sinar Harian mengenai FAM menerima peruntukan tambahan RM15 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad. (Gambar kecil: Mohd Sadek)

TIADA lagi ruang buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberi pelbagai alasan di atas kemerosotan skuad Harimau Malaya susulan tambahan peruntukan RM15 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, pengumuman tersebut merupakan pelaburan besar buat pasukan kebangsaan dan ia perlu dibalas dengan pulangan positif oleh FAM.

Skuad Harimau Malaya mendapat ‘durian runtuh’ apabila peruntukan sedia ada yang diumumkan pada Belanjawan 2025 digandakan kepada RM30 juta, dengan RM15 juta dibiayai pihak swasta.

“Jumlah RM30 juta memang satu angka yang besar dan sudah tentu banyak persatuan sukan memandang FAM dengan rasa cemburu kerana mereka dianggap sebagai anak emas kerajaan.

“Jadi sekarang FAM perlu buktikan bahawa mereka mampu menguruskan peruntukan tersebut dengan memastikan Harimau Malaya dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pada masa sama, kita tidak mahu mendengar lagi dolak-dalik daripada FAM jika prestasi Harimau Malaya terus merudum atau gagal mendapat perlawanan persahabatan kelas A.

“Bagi saya, peruntukan itu mampu menampung perlawanan kelas A selain digunakan untuk pembangunan akar umbi.

“Dan kena ingat, langkah merekrut pemain berdarah warisan gred A juga memerlukan kos,” katanya kepada Sukan Sinar.

Tambah Sadek, FAM juga perlu mencontohi Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) yang menerima peruntukan lebih kecil namun berjaya melahirkan juara dunia.

Ia susulan kejayaan Natasha Roslan menjadi pemain boling wanita pertama Malaysia menjuarai Piala Dunia Persekutan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong baru-baru ini.

“Tugasan paling hampir ialah Kelayakan Piala Asia 2027. Kita mesti layak, pelaburan besar daripada kerajaan perlu mendapat pulangan yang positif,” ujarnya.

Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac depan menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan F selepas diundi bersama Juara Piala ASEAN Vietnam, Nepal dan Laos.

Hanya juara setiap kumpulan layak ke Piala Asia 2027 yang berlangsung di Arab Saudi.



Source link

OR

Scroll to Top