Pelakon dan penyanyi era 1980-an, Isma Aliff dilapor meninggal dunia di kediamannya di Kampung Melayu Ampang pada jam 8.30 pagi, 7 Januari selepas berdepan komplikasi strok sejak dua tahun lalu.
Memetik BH Singapura, pemergian Allahyarham Isma disahkan adiknya, Shamsidah Ismail yang memaklmkan kesihatan abangnya semakin merosot.
“Sebab kematian mungkin daripada strok yang dialami selama dua tahun, cuma dalam seminggu terakhir, arwah hanya terlantar.
“Daripada itu, kami lihat arwah sudah tidak berada dalam keadaan baik dan hari ini, abang meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Shamsidah berkata pengebumian jenazah abangnya akan diteruskan tanpa perlu menanti kehadiran isteri dan dua anaknya memandangkan usahanya menghubungi mereka sebelum ini tidak berjaya.
“Saya bukan nak mengaibkan sesiapa, cuma saya ada beritahu ayah mereka bukan dalam keadaan baik. Jumpalah selagi dia masih boleh bercakap.
“Walaupun percakapannya sudah tidak jelas, tentulah sebagai seorang bapa dia ingin berjumpa anak-anaknya. Dia (anak sulung) ada balas ‘Allahuakbar, terima kasih maklumkan’.
“Lepas itu kami tunggu pagi dan petang, tapi tak juga datang. Saya anggap belum ada rezeki untuk mereka berjumpa,” katanya.
Dalampada itu, Shamsidah berkata dia turut menghubungi anak-anak arwah abangnya pagi 7 Januari namun tiada respon.
“Hari ini, saya maklumkan ayah mereka sudah meninggal dunia, tapi tiada respons. Anak saya juga cuba hubungi, namun panggilan ditolak,” katanya.
Allahyarham Isma Aliff berkahwin dengan Norha Rafie pada 1986 dan dikurniakan dua anak, Norismalina dan Muhammad Aliff.
Sumber: BH Singapura






