Daiyan Trisha julang Anugerah Melodi Terhangat

Daiyan Trisha julang Anugerah Melodi Terhangat


mohamadridzuan@hmetro.com.my

Putrajaya: Tuah berpihak kepada pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 – Ultimate Award menewaskan pencabar lain.

Ia adalah penghargaan tertinggi kepada figura paling berpengaruh berdasarkan impak positif, momen tular, serta sokongan dan interaksi awam sepanjang tahun ini.

Daiyan turut membawa pulang trofi kategori Selebriti Stailo Terhangat. Manakala penyampai radio Hot FM, Keymi pula diangkat sebagai pemenang Anugerah Pilihan Proton X50 Superstar dan membawa pulang hadiah berupa kereta sebuah X50 serba baharu tajaan Proton.

Anugerah berkenaan diberikan kepada selebriti, KOL (pemimpin pendapat utama) dan pencipta kandungan yang diberi cabaran untuk menghasilkan video paling kreatif bersama model Proton X50 serba baharu.

AMT berlangsung di Dewan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), disiarkan secara langsung di TV3 dan strim eksklusif di Tonton.

Sementara itu, pasangan sensasi Bella Astillah dan Syed Saddiq (BASS) menepati ramalan apabila memenangi Selebriti Couple Goals Terhangat. Che Puan Sarimah Ibrahim pula diangkat sebagai Selebriti Drama Sangat Terhangat.

Pemenang lain termasuk Khai Bahar menerusi kategori Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat, Cik Epal (Selebriti Trending Terhangat), Fattah Amin (Selebriti Maskulin Terhangat) dan Sophia Albarakbah (Selebriti Feminin Terhangat), manakala pelakon baharu, Zarif Ghazzi sebagai Selebriti Newcomer Terhangat.

Kategori Tonton Original Terhangat, calon yang bersaing menerusi produk Tonton Original Series atau Movies yang disiarkan antara Januari 2024 hingga Jun 2025 ini, dimenangi oleh drama Bru.

Selebriti Ikon Terhangat pula dimenangi oleh Siti Saleha dan Datuk Rosyam Nor (Selebriti Viral Terhangat).

Pemenang ditentukan berdasarkan undian secara atas talian di www.tonton.com.my.

Pengundian dibuka sehingga 5 Julai sehingga 31 Julai lalu. AMT 2025 yang meraikan bukan sahaja populariti, tetapi pengaruh sebenar dalam dunia digital dan sosial ini dikendalikan Ain Edruce dan Fikry Ibrahim.

Barisan artis yang membuat persembahan pada acara ini ialah Iman Troye, Ara Johari, Dukes, Mary Grave, Kai Deva, Feminin, Wani Kayrie, Umairah, Sarah Suhairi, De Fam, Fajar Noor, Marsha Milan, Anuar Zain, Ella dan Hael Husaini.

Sementara penyampai trofi adalah Ernie Zakri, Fattah Amin, Siti Hariesa, Hisyam Hamid, Christy Ng, Ceddy Ng, Dolla, DeFam, Syed Saddiq, Bella Astillah, Faizal Hussein, Che Puan Sarimah Ibrahim, Anuar Zain dan Ziana Zain.

Melodi yang dimulakan sejak 1992 adalah sebuah program infotaintment pertama yang memberikan informasi terkini dan sensasi dunia hiburan tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top