Hasrat pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha untuk menikmati juadah di restoran terkenal Rembayung milik pempengaruh Khairul Aming tidak kesampaian apabila dia menjadi mangsa penipuan individu yang menjual slot tempahan di media sosial.
Daiyan, 33, berkata kejadian itu berlaku selepas dia bersama pasukannya membeli slot tempahan daripada seorang individu dikenali sebagai Dayang menerusi platform Threads.
“Sebenarnya dari awal lagi saya sudah rasa ragu-ragu, 50/50. Tapi kami fikir cuba sahaja dulu. Kalau dapat, alhamdulillah. Kalau kena tipu pun kami sudah bersedia untuk makan di restoran lain,” katanya.
Daiyan berkata individu terbabit dipercayai menggunakan nama Dayang dan dia masih menyimpan nombor akaun bank yang digunakan untuk transaksi berkenaan.
“Saya masih ada nombor akaun dia, tapi bila cuba semak semula akaun Threads individu itu, akaunnya sudah tidak wujud,” katanya.
Berkongsi mengenai jumlah kerugian, Daiyan berkata dia kehilangan kira-kira RM120, namun mengakui tidak terlalu marah kerana sudah menjangkakan kemungkinan itu.

Sebaliknya, dia lebih bersimpati terhadap individu lain yang mungkin datang dari jauh semata-mata mahu menikmati hidangan di restoran berkenaan tetapi akhirnya menjadi mangsa penipuan.
“Saya cuma kasihan kepada mereka yang mungkin datang dari jauh seperti dari Kelantan atau Perlis, siap bawa ibu bapa untuk makan di Rembayung, tetapi akhirnya kena scam,” katanya.
Daiyan berkata demikian ketika ditemui pada rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur, malam Selasa.
Menurut Daiyan, apa yang lebih mengecewakan apabila masih ada pihak yang sanggup mengambil kesempatan terhadap orang lain, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan.
“Kalau hari biasa pun perkara ini tidak wajar dilakukan, apatah lagi dalam bulan puasa,” katanya.
Terdahulu, Daiyan menerusi sebuah video di media sosial berkongsi pengalaman dirinya bersama pasukan selepas menjadi mangsa individu yang menjual slot tempahan restoran Rembayung secara tidak sah.
@celeste.studio episode 02- a day with us! ⋆˚꩜。 was doing rather great the whole day until we got scammed! luckily we’re smart girls and berbuka with something light first. or not we would be HANGRYYY celeste visual diary 𑣲⋆。˚






