Maestro muzik tanah air, Datuk M. Nasir dan syarikat miliknya, Luncai Emas Sdn Bhd telah memfailkan saman terhadap MyTeksi Sdn. Bhd. berhubung dakwaan penggunaan nama serta jenama beliau tanpa kebenaran dalam satu kempen pengiklanan minuman di platform milik syarikat berkenaan.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 27 April lalu, kedua-dua plaintif menamakan MyTeksi sebagai defendan tunggal dalam kes berkenaan yang difailkan menerusi Tetuan Zulpadli & Edham.

Menurut pernyataan tuntutan itu, plaintif pertama dan kedua mendakwa pihak defendan telah menggunakan nama “M. Nasir” dalam satu kempen promosi kopi yang dipasarkan dengan label “Kegemaran M. Nasir”.
Ia sekali gus didakwa telah menimbulkan gambaran seolah-olah penyanyi dan komposer terkenal itu mempunyai kaitan atau penglibatan dalam produk berkenaan.
Iklan berkenaan didakwa telah diterbitkan menerusi akaun Instagram rasmi defendan iaitu @grabmy dan @grabfoodmy pada 23 April 2025, yang memaparkan promosi minuman kopi dengan kapsyen berbunyi “Kopi-kopi kegemaran M Nasir” diikuti frasa “Dua-dua pun Grab ada”.

Plaintif mendakwa penggunaan nama tersebut secara langsung merujuk kepada Datuk M. Nasir dan memberi gambaran bahawa produk atau perkhidmatan berkenaan dihasilkan, dikeluarkan atau mempunyai hubungan rasmi dengan beliau, sedangkan tiada sebarang kerjasama atau kebenaran diberikan.
Selain itu, plaintif turut mendakwa tindakan tersebut merupakan satu bentuk salah nyata (misrepresentation) yang telah menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang awam, pengguna media sosial serta pelanggan defendan, khususnya peminat M. Nasir yang mungkin menyangka terdapat penglibatan rasmi dalam kempen tersebut.
Pernyataan tuntutan turut menyebut bahawa tiada sebarang penafian, penjelasan atau kenyataan tambahan dikeluarkan oleh defendan yang menyatakan bahawa rujukan kepada “M. Nasir” bukan merujuk kepada artis berkenaan atau bahawa beliau tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kempen pengiklanan tersebut.

Dalam pada itu, plaintif turut menegaskan bahawa penggunaan nama dan jenama tersebut dalam konteks komersial adalah tindakan yang disengajakan bagi tujuan mempromosikan perkhidmatan serta produk defendan, dengan mengambil kesempatan terhadap reputasi dan nama baik Datuk M. Nasir tanpa kebenaran atau pengetahuan beliau serta syarikatnya.
Sehubungan itu, kedua-dua plaintif menuntut beberapa bentuk relif termasuk ganti rugi am, ganti rugi teladan berjumlah RM3 juta, ganti rugi teruk sebanyak RM2 juta, faedah, kos serta satu perintah injunksi bagi menghalang defendan, ejen atau pekerjanya daripada menggunakan nama serta jenama “M. Nasir” dalam apa-apa bentuk promosi atau pengiklanan pada masa akan datang.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 29 Jun ini sebagai tarikh pengurusan kes melalui e-Review bagi tindakan lanjut berhubung saman berkenaan.






