Dakwaan C4 bahawa SPRM tiada kebebasan tidak berasas, mengelirukan

Dakwaan C4 bahawa SPRM tiada kebebasan tidak berasas, mengelirukan



mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dakwaan Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memiliki kebebasan adalah tidak berasas dan boleh mengelirukan.

Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Mohd Nasir Ab Hadi berkata, walaupun pihaknya bersependapat bahawa keyakinan awam adalah penting dalam keberkesanan sesebuah institusi namun tuduhan C4 yang menyatakan bahawa SPRM tidak memiliki kebebasan adalah tidak berasas dan boleh mengelirukan.

Menurutnya, sebelum C4 mengkritik SPRM, adalah wajar mereka terlebih dahulu meneliti tahap ketelusan dalam organisasi mereka sendiri.

‘C4 diketahui menerima pembiayaan daripada sumber asing seperti Open Society Foundations yang diasaskan oleh George Soros, serta National Endowment for Democracy (NED) yang dibiayai oleh Kongres Amerika Syarikat.

‘Perkaitan kewangan ini menimbulkan tanda tanya tentang agenda sebenar C4, dan sama ada mereka benar-benar neutral atau dipengaruhi oleh kepentingan luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasir berkata, sebagai sebuah NGO yang mendakwa berperanan sebagai ‘pengawas’, mereka seharusnya menunjukkan ketelusan yang mereka tuntut daripada institusi lain.

“Sebaliknya, SPRM mempunyai asas undang-undang yang kukuh untuk menjamin kebebasannya daripada campur tangan politik.

“Menurut Akta SPRM 2009, Suruhanjaya ini tidak perlu melapor secara langsung kepada Perdana Menteri, sebaliknya boleh bertindak secara bebas untuk menyiasat mana-mana kes rasuah.

“Walaupun Ketua Pesuruhjaya dilantik atas nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, SPRM tetap berfungsi dengan autonomi yang dijamin undang-undang,” katanya.

Beliau berkata di samping itu, SPRM dipantau oleh lima badan pemantau bebas yang terdiri daripada wakil awam, wakil Parlimen dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang.

“Badan-badan seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Panel Penilaian Operasi (PPR) bertindak menjamin bahawa setiap tindakan serta siasatan oleh SPRM dilakukan dengan adil, bebas dan mengikut undang.

“SPRM juga diwajibkan membentangkan laporan tahunan kepada parlimen yang membolehkan ahli parlimen membincang dan menilai setiap tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya ini,” katanya.

Beliau berkata, ini memastikan ketelusan dalam setiap operasi SPRM dan memberi peluang kepada pemantauan berterusan dari pelbagai pihak.

“Sehubungan itu, kami mengajak C4 dan pihak lain untuk menyertai perbincangan bersama yang lebih membina dan tidak hanya mengeluarkan kritikan secara melulu.

“Isu rasuah adalah masalah bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak. Usaha bersepadu antara SPRM dan organisasi masyarakat awam adalah jauh lebih berkesan dalam memastikan kemajuan dalam memerangi rasuah di Malaysia,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan C4 yang membangkitkan kebimbangan mengenai kekurangan kebebasan SPRM secara berterusan serta kegagalan kerajaan menangani kebimbangan orang ramai.

Kenyataan itu susulan laporan Bloomberg baru-baru ini yang mendakwa pengaruh tidak wajar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap siasatan SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top