FAM menegaskan dakwaan FIFA terhadap tujuh pemain warisan negara tidak berasas dan akan mengemukakan rayuan rasmi.
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa gambaran terhadap isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah tidak tepat dan tidak adil.
FAM dalam kenyataan rasmi hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima dokumen penuh penghakiman daripada FIFA berhubung keputusan tatatertib berkaitan isu tersebut, dan akan segera mengemukakan rayuan rasmi melalui saluran undang-undang yang ditetapkan.
Menurut badan induk itu, semua dokumen serta bukti sokongan berkaitan isu berkenaan telah lengkap sepenuhnya dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA dengan kadar segera.
“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain memperoleh dokumen yang dipalsukan atau dengan sengaja berusaha mengelak peraturan kelayakan.
“FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA. Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.
Sebelum ini, FIFA telah mengeluarkan dokumen penuh penghakiman yang mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang sebelum ini digantung kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
FAM turut menegaskan bahawa para pemain terbabit sentiasa bertindak dengan penuh niat baik dan bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan serta pendaftaran yang dijalankan oleh FAM.
“FAM berpendapat bahawa penggambaran ini tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi,” tegas kenyataan tersebut.
Tambah FAM, pihaknya kekal komited mempertahankan kepentingan bola sepak negara serta hak para pemain selain memastikan proses rayuan dijalankan dengan telus dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Dalam masa sama, FAM menjelaskan bahawa kes ini turut melibatkan maklumat rasmi berkaitan prosedur Kerajaan Malaysia berhubung pengeluaran dan pengesahan pasport.
“Selaras dengan peruntukan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Pasport 1966, sebarang pendedahan berkaitan bahan atau proses tersebut tanpa kebenaran adalah dilarang sama sekali. Justeru, FAM terikat secara undang-undang untuk mengekalkan kerahsiaan terhadap elemen-elemen tersebut,” katanya.
Menurut FAM, semua maklumat berkaitan hanya akan dikongsi dengan pihak FIFA bagi tujuan penyelesaian kes berkenaan.
Ringkasan AI
- FAM menegaskan gambaran FIFA mengenai isu dokumentasi pemain adalah tidak tepat dan tidak adil
- FAM telah menerima dokumen penghakiman FIFA dan akan mengemukakan rayuan
- Dokumen sokongan isu tersebut telah lengkap dan sedia untuk dikemukakan kepada FIFA
- FAM membantah dakwaan pemalsuan dokumen oleh pemain dan menyatakan dokumentasi disediakan mengikut prosedur
- Kes ini melibatkan prosedur Kerajaan Malaysia berkaitan pengeluaran pasport dan FAM terikat untuk mengekalkan kerahsiaan