WASHINGTON: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) semalam menggantung penerbangan di ruang udara sekitar Fort Hancock, Texas, susulan dakwaan sistem anti dron berasaskan laser milik tentera digunakan sehingga menembak jatuh sebuah dron kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Dalam notis rasmi, FAA memaklumkan sekatan itu dibuat atas sebab keselamatan khas di kawasan berhampiran sempadan Mexico.
Bagaimanapun, FAA dan Pentagon belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung insiden berkenaan.
Tiga wakil Demokrat AS, Rick Larsen, Bennie Thompson dan Andre Carson, dalam kenyataan bersama mendakwa Pentagon dipercayai secara tidak sengaja menembak jatuh dron milik Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).
Mereka yang mengetuai jawatankuasa berkaitan penerbangan dan keselamatan dalam negeri turut mengkritik kekurangan penyelarasan antara agensi, sambil menuntut penjelasan lanjut berhubung kejadian itu.
Pembantu Kongres memberitahu Reuters Pentagon dipercayai menggunakan sistem laser tenaga tinggi itu sehingga secara tidak sengaja menembak jatuh dron CBP berhampiran sempadan Mexico, di kawasan yang kerap menyaksikan pencerobohan dron dari Mexico yang digunakan kartel dadah.
Februari lalu, FAA menghentikan operasi penerbangan selama 10 hari di lapangan terbang berhampiran di El Paso, Texas, sebelum menarik balik arahan itu kira-kira lapan jam kemudian. Fort Hancock terletak kira-kira 80 kilometer dari El Paso.
Reuters dan beberapa media lain melaporkan penutupan itu berpunca daripada kebimbangan terhadap penggunaan sistem anti dron berasaskan laser berkenaan.
FAA dilaporkan bersetuju menarik sekatan di sekitar El Paso sekiranya Pentagon menangguhkan ujian lanjut sementara menunggu semakan keselamatan oleh FAA.
Pembantu Kongres berkata, wujud kekurangan penyelarasan antara FAA dan Pentagon berhubung insiden berkenaan. Menurut mereka, kerajaan hanya memaklumkan pejabat Kongres mengenai penutupan di El Paso serta kejadian di Fort Hancock lewat 26 Februari.
Dalam notisnya, FAA melarang semua penerbangan di kawasan Fort Hancock, namun menyatakan penerbangan ambulans udara atau operasi mencari dan menyelamat boleh dibenarkan dengan kelulusan Pasukan Petugas Bersama Sempadan Selatan.
Sekatan ruang udara itu dijadual berkuat kuasa sehingga 24 Jun.






