May 21, 2024

Dakwaan saya berhutang dengan ah long satu fitnah jahat – Khairul Azhari


BATANG KALI – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut menepis dakwaan dirinya terpalit dengan perkhidmatan kredit komuniti atau ah long.

Jelasnya, ia adalah satu fitnah jahat yang dilemparkan untuk menghakis kepercayaan pengundi terhadap dirinya yang merupakan calon bagi PRK kali ini.

“Pada saya ini adalah satu fitnah jahat seperti mana yang telah berlaku pada penamaan calon minggu lalu.

“Saya diserang apabila wartawan bertanyakan kepada saya mengenai sijil kelayakan akademik saya. Bukan saya tidak mahu komen tapi bukan masanya ketika itu yang mengajukan soalan dan saya tidak menipu,” katanya ketika ditemui media di bilik gerakan utama (BGU) Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Beliau hadir menemani Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam pelancaran wanita gempur di bilik gerakan utama (BGU) PN pagi ini.

Turut hadir adalah Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris.

Pada Rabu lalu, media melaporkan Khairul Azhari kembali terpalit kontroversi apabila terlibat dakwaan hutang melibatkan perkhidmatan kredit komuniti.

Mengulas lanjut, sebagai seorang ahli perniagaan, beliau sememangnya mempunyai hutang namun bukan melibatkan pihak ah long.

“Saya ada peniagaan sendiri dan saya rasa orang berniaga semua ada hutang. Saya ada hutang rumah, kereta dan tidak mengatakan saya tidak ada hutang.  Yang penting bukan hutang dengan ah long.

“Hutang dengan ah long pun kad bank dipegang, kita tidak ke mana sampaikan rumah kena simbah cat tapi itu bukan saya,” katanya lagi.

Sebelum ini tular satu hantaran di media sosial yang mempersoalkan kreadibiliti calon PN kelahiran Felda Tengi, Kuala Kubu Baharu itu yang didakwa masih dibelenggu hutang bernilai RM37,363 dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Sejak hari penamaan calon PRK pada 27 April lalu, Khairul Azhari berdepan kontroversi apabila pelbagai pihak mempersoalkan kelayakan ijazah sarjana tanpa memiliki ijazah sarjana muda.

Rentetan itu beliau menerusi hantaran di Facebook memuat naik sijil dan transkrip Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top