am@hmetro.com.my
Ipoh: Konflik peperangan di Asia Barat seharusnya diteladani oleh masyarakat di Malaysia supaya tidak melakukan perkara yang dapat mencetuskan perang sesama sendiri selain menjauhi fitnah bagi menjamin keamanan negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, nikmat keamanan dalam sesebuah negeri atau negara tidak ternilai kerana kekayaan serta wang yang banyak juga tiada gunanya apabila negara dilanda perang.
Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata, musibah peperangan seperti di Iran serta Palestin bukan sekadar untuk diperhatikan, sebaliknya harus dijadikan teladan termasuk dengan tidak mencetuskan perkara yang boleh membawa kepada perang saudara.
“Orang Iran barangkali tak mahu perang tetapi orang Amerika Syarikat (AS) memerangi dia dan begitu juga orang Palestin tak nak perang tetapi orang Israel memeranginya.
“Di Malaysia tiada siapa nak berperang dengan kita jadi kita jangan perang sesama sendiri.
“Kalau negara dilanda perang, wang yang banyak pun tak guna. Kaya pun tak guna, ada kereta besar pun tak boleh berjalan ke mana-mana.
“Jadi yang penting ialah nikmat keamanan. Orang muda jangan sebar dan sambung fitnah.
“Tolong ajak dan jadi kumpulan yang pengasih, pendamai dan pemaaf. Lagi ramai orang ciptakan kedamaian maka lagi besar pahala yang kita dapat,” katanya ketika berucap pada program Iftar Anak Muda 2026 di Dataran Bandaraya Ipoh, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin; dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
Saarani berkata, golongan muda khususnya harus sentiasa ingat agar memastikan segala kandungan di media sosial yang hendak dikongsikan perlu tepat agar fitnah tidak merebak.
“Dalam poket kita ada telefon bimbit, yang mana di dalamnya ada peluru dan racun.
“Jadi kalau kita buka WhatsApp, pastikan kandungan itu adalah benar dan bukan fitnah serta jangan mudah sebarkan fitnah itu tanpa memeriksanya terlebih dahulu.
“Jadi tolonglah orang muda jangan sebar fitnah, jangan sambung fitnah, jangan buat fitnah,” katanya.
Setakat semalam, media antarabangsa melaporkan ribuan individu menjadi korban peperangan Iran-AS, dengan Iran mencatatkan angka 1,825 korban dengan lebih 10,000 orang awam cedera, tidak termasuk negara sekitar yang turut terbabit dengan konflik itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






