Kuala Lumpur: MTC Growth Innovation Programme (MGIP), anjuran Khazanah Nasional (Khazanah) melalui Dana Impak, dilihat sebagai platform penting membimbing syarikat peringkat pertengahan (MTC) tempatan untuk melonjak ke tahap lebih tinggi.
Melalui bimbingan intensif, MGIP bukan sekadar memperkenalkan kerangka inovasi, malah menuntut komitmen kepimpinan syarikat untuk membuat keputusan berani, menilai semula strategi dan menyesuaikan diri dengan keperluan sebenar pelanggan.
Pembimbing ke arah kemajuan
NSW Automation meningkatkan kepelbagaian ekonomi melalui teknologi perindustrian
Menurut Pengarah Urusan NSW Automation Sdn Bhd (NSW), Kiang Ngee Boo, syarikat yang ditubuhkan pada 2004 itu bermula sebagai syarikat kecil dalam projek automasi sebelum beralih kepada pengkhususan mesin penyaluran cecair jitu (precision fluid dispensing systems) elektronik pada 2010.
Beliau berkata, hari ini syarikatnya menjadi pembekal utama peralatan penyaluran kepada industri semikonduktor dan elektronik dengan pelanggan multinasional.
“Perjalanan kami tidak mudah kerana kelulusan pelanggan mengambil masa berbulan-bulan ujian. Mesin baharu hanya diterima selepas melalui ujian ketat yang menuntut kesabaran dan ketepatan tinggi,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Ngee Boo berkata, cabaran mendapatkan tenaga kerja kejuruteraan mahir serta keperluan memahami piawaian pasaran antarabangsa menjadikan strategi pertumbuhan lebih kompleks.
Katanya, MGIP hadir tepat pada masanya apabila memberi kerangka untuk NSW menilai idea baharu dan memastikan setiap produk benar-benar menyelesaikan masalah pelanggan.
Wadah kerjasama strategik
Sipro Plastic Industries memperkukuh kapasiti untuk berkembang ke peringkat global menerusi MGIP
Bagi Sipro Plastic Industries Sdn Bhd (Sipro), syarikat yang diasaskan sejak 1992 ini sudah 33 tahun bertahan dalam industri pembuatan komponen plastik.
Dengan kilang di Bukit Beruntung, Shah Alam dan Sungai Petani, ia menjadi pembekal utama kepada Perodua, PROTON, Toyota dan Honda, selain jenama elektrikal dan elektronik (E&E) seperti Panasonic dan Konica Minolta.
Pengurus Perancangan Korporat Sipro, Afiqah Aida Rahim berkata, antara cabaran getir dihadapi syarikat itu adalah ketika mengharungi pelbagai krisis, termasuk krisis kewangan ASEAN pada 1990-an, krisis kewangan global 2007 serta pandemik COVID-19.
Katanya, sebagai syarikat dalam industri bermodal tinggi, Sipro sentiasa berdepan cabaran memastikan aliran kewangan mencukupi bagi membiayai projek, khususnya dalam kos pel- bagai jenis acuan yang diperlu- kan untuk pengeluaran produk.
“Antara projek membanggakan Sipro ialah penyediaan tempat duduk plastik bagi kedua-dua stadium kebangsaan di Bukit Jalil sempena temasya Sukan SEA 2017.Dalam tempoh 100 hari, kami berjaya menyiapkan lebih 100,000 unit kerusi pelbagai warna dengan ciri khas tahan api.
“Bagaimanapun, ketika pandemik COVID-19, operasi syarikat terpaksa dihentikan sehingga menyebabkan jualan merosot mendadak. Namun, Sipro tetap menanggung kos tetap, termasuk pembayaran gaji lebih 400 kakitangan setiap bulan, tanpa perlu memberhentikan mana-mana pekerja walaupun ketika tempoh amat mencabar,” katanya.
Mengenai MGIP, beliau berkata, penyertaan dalam program anjuran Khazanah Nasional itu membuka ruang luas kepada Sipro untuk menjalin kerjasama serta rangkaian strategik baharu, termasuk dengan firma perunding antarabangsa ternama yang mempunyai kepakaran serta hubungan rapat dengan pakar industri lain.
Katanya, program itu bukan sahaja mempertemukan mereka dengan rakan industri dan bakal rakan kongsi yang memahami cabaran syarikat pertengahan, malah turut berkongsi aspirasi pertumbuhan yang sama.
“Ia sekali gus memberi peluang kepada Sipro untuk menguji idea serta meneroka pelbagai bentuk kolaborasi di pasaran sasaran.
“Selain itu, kami turut berpeluang berinteraksi dengan peserta daripada kumpulan MGIP terdahulu, sekali gus memperluas jaringan perniagaan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan syarikat MTC tempatan supaya tidak teragak-agak menyertai MGIP, yang disifatkan sebagai titik perubahan penting dalam perjalanan pertumbuhan mereka.
Menyemarakkan potensi pertumbuhan
Permulaan sederhana Padzilah Enda Sulaiman kini menyaksikan Siti Khadijah muncul sebagai jenama telekung terkemuka di Malaysia
Sementara itu, jenama Siti Khadijah (Enda Group) pula mencetus revolusi dalam pasaran telekung apabila pengasasnya, Padzilah Enda Sulaiman memperkenalkan rekaan telekung yang menyesuaikan bentuk muka dengan lebih selesa pada 2009.
Bermula dengan jemputan ke sebuah rancangan televisyen yang melonjakkan jualan sulung, Enda Group kini menguasai hampir 30 peratus pasaran telekung tempatan dengan lebih 60 cawangan, selain di Indonesia dan Singapura.
Antara cabaran paling besar ialah ketika pandemik COVID-19 apabila 59 kedai terpaksa ditutup menjelang Ramadan di samping inventori pada masa itu berada pada tahap maksimum.
“Kami terpaksa beralih ke platform dalam talian. Jualan digital yang sebelum ini kurang 10 peratus melonjak kepada 100 peratus dan berjaya mengekalkan hasil setara tahun sebelumnya.
“Fokus kami sejak awal adalah menghasilkan telekung premium dengan nilai tambah yang menyelesaikan masalah pelanggan. Keputusan itu sukar, tetapi akhirnya terbukti berjaya,” kata Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group, Mohammad Munzir Aminuddin.
Mohammad Munzir menegaskan inisiatif MGIP daripada Khazanah Nasional amat relevan bagi perusahaan bersaiz pertengahan yang sedang beralih daripada status PKS.
Katanya, menerusi MGIP, syarikat berpeluang menilai semula arah tuju perniagaan dengan memberi fokus semula kepada pelanggan.
“Ia membantu pengurusan memperjelas strategi jangka panjang, terutama ketika organisasi berkembang dari segi saiz operasi dan jumlah pekerja.
“MGIP bukan sekadar kelas latihan biasa, sebaliknya program intensif MGIP memerlukan daya fikir, pelaksanaan serta komitmen tinggi pasukan pengurusan,” katanya.
Beliau berkata, hubungan itu membantu syarikat mengenal pasti potensi kerjasama strategik serta memperkukuh keupayaan daya saing.
“Kami syorkan rakan seindustri menyertai MGIP kerana terbukti memberi nilai tambah. Program ini memberi kerangka jelas membangunkan hala tuju syarikat serta mengekalkan pertumbuhan dengan pulangan optimum bagi yang sanggup melabur masa dan sumber,” katanya.
Melalui inisiatif seperti MGIP, Khazanah menerusi Dana Impak komited membangunkan firma Malaysia yang berdaya saing pada peringkat global.
Kejayaan bergantung pada kerjasama erat antara semua pemegang taruh seperti firma swasta, agensi awam, pengawal selia, pengurus dana, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan berdaftar dan badan akademik.
Hanya dengan sinergi yang kukuh, Malaysia mampu merealisasikan potensi ekonomi sepenuhnya. Khazanah Nasional menjemput MTC tempatan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi untuk menyertai kohort MGIP seterusnya. Untuk maklumat lanjut layari https://www.khazanah.com.my/.
© New Straits Times Press (M) Bhd