Laporan Sukan Sinar pada Ahad.
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan masih terdapat sejumlah dana berasaskan merit yang belum diagihkan kepada Perak FC, namun penyaluran dana berkenaan perlu mendapat kelulusan Lembaga Pengarah MFL terlebih dahulu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, agihan tersebut adalah sebahagian daripada pendapatan berdasarkan kedudukan akhir kelab dalam saingan Liga Super 2024/25.
“Memang benar masih ada dana yang belum diserahkan kepada Perak FC dan dana ini adalah agihan pendapatan berasaskan merit berdasarkan pencapaian terakhir mereka dalam liga.
“Namun begitu, agihan tersebut tidak boleh dibuat serta-merta kerana perlu dibawa ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi mendapatkan keputusan selanjutnya,” katanya pada Isnin.
Perkara ini timbul susulan kenyataan Perak FC yang mendakwa mereka masih menunggu dana merit daripada MFL bagi melunaskan tunggakan gaji pemain, jurulatih dan kakitangan pasukan, selepas mengumumkan penghentian operasi serta-merta akibat krisis kewangan.
Menurut Mohd Shazli, walaupun agihan dana itu sememangnya diperuntukkan kepada Perak FC, status kelab tersebut yang telah gagal dalam permohonan Pelesenan Kelab menjadikan isu ini perlu dirujuk mengikut peruntukan dan peraturan sedia ada di bawah Perlembagaan MFL.
“Ini prosedur biasa yang MFL lakukan di mana Perak FC telah gagal dalam permohonan Pelesenan Kelab, dan sebarang agihan kewangan perlu diteliti semula berdasarkan perlembagaan MFL,” katanya.