KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menetapkan dasar baharu bahawa bermula 2026, dana Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) akan memberi keutamaan kepada sukan yang dipertandingkan dalam temasya sukan utama bagi memperkukuh persiapan kontinjen negara di pentas antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keutamaan itu melibatkan sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik, Sukan Asia dan Para Asia, Sukan Komanwel serta Sukan SEA dan Para ASEAN.
Menurutnya, penetapan tersebut dibuat berdasarkan senarai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang merangkumi 58 jenis sukan, selain sukan di bawah Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Katanya, keputusan dasar itu dibuat dengan mengambil kira beberapa temasya sukan utama yang bakal dihadapi kontinjen negara dalam tempoh terdekat.
Antaranya termasuk Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada Ogos ini, diikuti Sukan Asia di Doha dari September hingga Oktober, serta Sukan Para Asia di Aichi dan Nagoya, Jepun pada Oktober.
Selain itu, Malaysia juga bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 yang dijadualkan berlangsung pada September tahun berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan tetap komited menyokong pembangunan sukan permotoran negara melalui pelbagai program pembangunan bakat.
Pada tahun 2025, KBS melalui dana KWASN menyalurkan peruntukan berjumlah RM3 juta kepada Sepang International Circuit (SIC) bagi melaksanakan Program Pembangunan Sukan Permotoran Berprestasi Tinggi 2025.
Menurutnya, peruntukan tersebut merangkumi tiga program utama pembangunan pelumba muda negara.
Ia melibatkan penyertaan Hakim Danish dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup dengan peruntukan RM1.159 juta, Qabil Irfan dalam ESBK Moto3 Talent (RM1.3 juta) serta Sharf Muhriz dan Adam Danial dalam Asia Talent Cup dengan jumlah RM540,000.
“Dana ini bertujuan menampung kos penyertaan kejohanan, operasi pasukan, latihan serta keperluan pembangunan pelumba sepanjang musim 2025,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagi memperkukuh laluan pembangunan kerjaya Hakim Danish, KBS turut meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta melalui KWASN bagi penyertaan pelumba itu dalam FIM JuniorGP World Championship 2025.
Menurutnya, kejohanan tersebut merupakan antara platform pembangunan penting bagi pelumba muda sebelum melangkah ke Kejuaraan Dunia MotoGP.
Tambah beliau, sokongan tersebut selaras dengan pelan pembangunan jangka panjang KBS menerusi Motorsports Development Blueprint (MDEV) yang menjadi panduan hala tuju pembangunan bakat pelumba tempatan dari peringkat akar umbi sehingga ke kejohanan dunia seperti MotoGP.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan perjalanan kerjaya pelumba muda negara, Hakim Danish, sebagai simbol harapan serta inspirasi kepada generasi muda Malaysia yang bercita-cita mencipta nama dalam sukan permotoran di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, pencapaian pelumba tersebut membuktikan bahawa anak muda tempatan mempunyai potensi besar untuk bersaing dengan pelumba terbaik dunia sekiranya diberikan peluang, sokongan serta platform pembangunan yang sesuai.
“Beliau membuktikan bahawa dengan disiplin, keberanian serta sokongan yang tepat, anak muda negara mampu bersaing dengan pelumba terbaik dunia,” katanya.
Tambah beliau, KBS akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), agensi kerajaan, rakan industri serta penaja korporat bagi memastikan pembangunan sukan permotoran negara terus berkembang secara mampan.
Usaha itu, katanya, penting bagi memastikan bakat muda negara terus digilap sekali gus membuka laluan kepada lebih ramai atlet Malaysia untuk bersaing di pentas dunia pada masa hadapan.
Ringkasan AI
- KBS menetapkan dasar baharu memberi keutamaan kepada sukan utama dalam temasya sukan untuk persiapan kontinjen negara di pentas antarabangsa bermula 2026
- Keutamaan diberikan kepada sukan dalam Sukan Olimpik, Paralimpik, Sukan Asia, Para Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA
- Dasar ini dibuat berdasarkan senarai dari Majlis Olimpik Malaysia yang merangkumi 58 jenis sukan
- Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027
- KBS melalui KWASN menyediakan RM3 juta untuk Program Pembangunan Sukan Permotoran Berprestasi Tinggi 2025






