mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 20 lagi saksi akan dipanggil oleh Suruhanjaya Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan bagi dirakam percakapan untuk membantu siasatan penyelewengan dana sukuk sebuah lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, saksi berkenaan termasuk individu yang sudah dipanggil sebelum ini.
Menurutnya, mereka akan dirakam percakapan bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Pasukan siasatan masih meneliti pelbagai dokumen, termasuk dokumen bank yang perlu kita buat analisa dan merakam percakapan daripada pihak pegawai bank untuk disahkan kandungan di dalam penyata penyata bank berkenaan.
“Kertas siasatan juga dijangka disiapkan dalam tempoh dua bulan,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan sebanyak RM141 juta aset dalam negara disita dan RM15 juta aset luar negara dikesan oleh SPRM membabitkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.
Azam dilaporkan, berkata, pecahan disita itu membabitkan akaun individu RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah RM24.5 juta, jam tangah mewah RM26 juta, sembilan unit kereta mewah RM7.65 juta dan barangan kemas serta berlian RM10 juta.
Menurutnya, barangan lain yang disita adalah tas tangan mewah RM6 juta, jongkong, patung emas dan syiling emas yang dianggarkan bernilai RM3 juta, empat ekor kuda bernilai RM400,000. Walaubagaima pun aset aset diluar negara yang dianggarkan berjumlah RM15 juta sedang di dalam proses pengesanan oleh pihak SPRM.
“Selain itu antara penggunaan wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan minuman beralkohol dan aktiviti perjudian RM25 juta. Nilai keseluruhan aset dan transaksi yang telah dikesan dalam penyalahgunaan dana sukuk ini berjumlah RM156 juta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd