Daniel sedia bantu rangkaian serangan

Daniel sedia bantu rangkaian serangan


Petaling Jaya: Pertahanan kiri Harimau Malaya, Daniel Ting bersedia untuk mengambil alih peranan lebih menyerang bagi mengimbangi ketiadaan beberapa pemain sayap dalam dua perlawanan penting Kumpulan D pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bulan ini.

Walaupun mungkin berdepan saingan untuk posisi itu, pemain berusia 31 tahun itu berkata, dia tidak kisah bermain sebagai pertahanan sayap jika ketua jurulatih Kim Pan Gon menuntutnya kerana sudah biasa beraksi di posisi berkenaan bersama Sabah FC.

“Saya memainkan peranan lebih menyerang dan lebih tinggi dengan Sabah, tetapi kami juga mempunyai pemain muda lain…jadi saya rasa kami mempunyai banyak pilihan untuk menggantikan kehilangan pemain,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini hari ini.

Skuad negara dibelenggu masalah kecederaan dengan pemain sayap Faisal Halim dan Arif Aiman ​​Mohd Hanapi; penyerang Darren Lok, Muhammad Syafiq Ahmad dan Romel Morales dan penjaga gol pilihan pertama Ahmad Syihan Hazmi Mohamed kesemuanya tidak dapat beraksi.

Di sebalik kekangan itu, Daniel tetap optimis mengenai peluang Malaysia mengutip tiga mata apabila berdepan pasukan di ranking ke-100 dunia, Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada Khamis depan.

Daniel berkata, Malaysia di ranking ke-138 dunia menunjukkan kemampuan mereka dalam kemenangan 4-3 menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), November lalu.

“Kami tidak boleh pergi ke sana (ke Bishkek) memikirkan bahawa kami akan kalah. Sudah tentu, kami mahu memenangi setiap perlawanan, jadi kami perlu pergi ke sana dengan fikiran positif.

“Kami bekerja keras dalam latihan minggu ini. Kini, seluruh pasukan sudah bersama..jadi kami benar-benar boleh turun dan berusaha dengan taktik yang ditetapkan jurulatih,” katanya.

Selepas perlawanan menentang Kyrgyzstan, Malaysia akan menamatkan kempen Kumpulan D mereka dengan melayan kunjungan Taiwan di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Sebagai rekod, dua kekalahan berturut-turut di tangan Oman pada aksi kelayakan, Mac lalu menyaksikan skuad negara menghuni tangga ketiga Kumpulan D dengan enam mata, tiga mata di belakang Kyrgyzstan selaku pendahulu dan Oman di tangga kedua.

Taiwan tercorot dalam kumpulan tanpa sebarang mata.

Hanya dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selain meraih slot automatik ke Piala Asia 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top