Daniel Ting wira Sabah FC, Imigresen FC belasah PDRM FC

Daniel Ting wira Sabah FC, Imigresen FC belasah PDRM FC


Pemain pasukan Imigresen FC, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin (tengah) diasak pemain pasukan PDRM FC, Muhammad Amirul Wa’ie Ya’acob (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan pada Ahad. Foto Bernama

SABAH FC berjaya merakam kemenangan sulung Liga Super musim ini, selepas bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk membenam Penang FC 3-2 pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam Ahad.

Pada perlawanan itu, Penang FC terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan penyerang import Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-17, namun pasukan tuan rumah pantas menyamakan kedudukan hasil penyudah Ajdin Mujagic lima minit kemudian.

Pasukan pelawat sekali lagi berada di depan selepas Wenzel-Halls meledak gol peribadi keduanya pada minit ke-39, sekali gus meletakkan pasukan mendahului 2-1 memasuki separuh masa.

Bersambung babak kedua, Sabah memastikan sokongan penyokong tuan rumah tidak sia-sia apabila Muhammad Jafri Firdaus Chew meledak gol penyamaan kedua pada minit ke-56, sebelum Daniel Ting muncul wira pasukan dengan gol kemenangan pada minit ke-71.

Tiga mata berharga dikutip skuad Sang Badak itu, membolehkan mereka memanjat ke tangga kesembilan dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi sembilan perlawanan sementara Penang di posisi ke-11 dengan meraih lima mata.

Imigresen FC pula meraih kemenangan kedua mereka, selepas berpesta gol membelasah PDRM FC 5-0 dalam aksi di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang.

Pasukan tuan rumah tidak berdepan masalah untuk mendahului 2-0 di separuh masa pertama hasil jaringan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-19 dan Joao Pedro pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, The Mighty Tigers menggandakan asakan untuk terus menjarakkan kedudukan dan usaha itu berhasil apabila Elvis Kamsoba, berjaya meledak gol ketiga pada minit ke-74.

Elvis sekali lagi menambah duka PDRM apabila menolak masuk gol keempat IFC hanya selang tiga minit kemudian.

PDRM yang terdesak melakukan beberapa pertukaran dilihat cuba melakukan asakan, namun kekebalan benteng IFC, terus menggagalkan setiap percubaan mereka untuk memburu jaringan.

Pemain gantian, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin memastikan kemenangan selesa IFC apabila merembat masuk gol kelima pada minit ke-90.

Imigresen kini menghuni tempat kelapan dengan sembilan mata, manakala PDRM ke-10 dengan tujuh mata. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Sabah FC berjaya menewaskan Penang FC 3-2 dalam Liga Super
  • Penang FC memulakan jaringan lebih awal namun Sabah FC berjaya menyamakan kedudukan
  • Gol penyamaan dan kemenangan Sabah FC dijaringkan pada babak kedua
  • Kemenangan ini membawa Sabah FC ke tangga kesembilan liga
  • Imigresen FC mengalahkan PDRM FC 5-0, menduduki tempat kelapan liga



Source link

OR

Scroll to Top