Kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, yang menyamakan situasi Malaysia dengan Palestin mencetuskan kecaman daripada pemimpin DAP, yang menyifatkannya sebagai tindakan politik perkauman yang “melampau dan tidak boleh diterima.”
DAP tak setuju pemimpin PAS main politik perkauman
Memetik laporan daripada Malaysiakini, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan menyatakan hantaran Facebook Ahmad Marzuk bertajuk “Belajar dari Sejarah Palestin: Jangan Kita Ulangi Kesilapan yang Sama” seolah-olah menggambarkan warga bukan Islam dan bukan bumiputera di Malaysia sebagai ancaman kepada kepentingan Melayu-Islam.
PAS main politik perkauman, kaitkan dengan Israel
Ahli Parlimen Bangi itu menegur Marzuk kerana menyamakan rakyat Malaysia bukan Melayu dan bukan Islam dengan penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Kita semua bersatu menentang kezaliman Israel dan tindakan rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar batas manusiawi. Tiada pertikaian mengenai perkara ini.
Tetapi, tindakan ahli parlimen PAS ini yang mengaitkan rakyat Malaysia bukan Islam dan bukan Melayu dengan apa yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin adalah melampau dan tidak boleh diterima,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, Ahmad Marzuk mendakwa bidang ekonomi kini semakin dikuasai oleh bukan Islam dan bukan bumiputera, malah memberi amaran bahawa “tanda-tanda itu sudah mula kelihatan di depan mata.”
“Bidang ekonomi kini semakin dikuasai oleh bukan Islam dan bukan bumiputera. Gedung-gedung besar, syarikat utama, dan tanah-tanah strategik sudah lama keluar dari genggaman umat Islam.
“Kini langkah mereka telah sampai ke Putrajaya, menggubal undang-undang, menulis akta, dan perlahan-lahan menata peta kuasa politik negara ini.
“Sejarah Palestin sedang menulis babak baharunya di bumi Malaysia jika kita terus lena,” katanya.
Kenyataan tak cerminkan realiti Malaysia
Bagaimanapun, Syahredzan menegaskan bahawa kenyataan itu tidak mencerminkan realiti Malaysia yang dibina melalui kerjasama semua kaum dan agama.
“Orang bukan Melayu dan bukan Islam telah bersama-sama dengan orang Melayu dan Muslim untuk membina negara kita yang tercinta ini,” katanya.
Politik perkauman tak sepatutnya berlaku
Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat baru sahaja menyambut Deepavali dalam semangat perpaduan, namun masih ada pemimpin yang memilih untuk meniup api perkauman demi kepentingan politik sempit.
“Malangnya, pemimpin PAS seperti Datuk Marzuk sanggup memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan Islam sebagai musuh dalam selimut yang mempunyai agenda jahat terhadap orang Melayu dan Muslim.
Jelas bahawa PAS masih membawa perkauman sempit dan memecahbelahkan masyarakat. Rakyat Malaysia yang mencintai negara kita yang berbilang bangsa diseru untuk menolak politik lapuk seperti ini,” tegasnya.
Artikel lain: Adun PAS mohon maaf secara terbuka kepada MP DAP, akui buat dakwaan palsu
Dalam masa sama, beliau turut mencabar sekutu PAS dalam Perikatan Nasional (PN) serta ‘Ikatan Prihatin Rakyat’ untuk menyatakan pendirian terhadap kenyataan Ahmad Marzuk yang dianggap membahayakan perpaduan negara.
Sumber: Malaysiakini, Facebook Ustaz Marzuk Shaary