DAP perlu henti raih publisiti isu sumbangan syarikat arak untuk sekolah – Arvind

DAP perlu henti raih publisiti isu sumbangan syarikat arak untuk sekolah – Arvind


KUALA LUMPUR – Pemuda MIC Kebangsaan mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong yang juga wakil rakyat DAP, M Thulsi daripada terus memberikan kenyataan bercanggah berhubung isu berhubung dana syarikat arak di sekolah.

Menurut Ketua Pemudanya, Arvind Krishnan, Thulsi mendakwa surat pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) sudah tidak terpakai kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Menurutnya, kenyataan itu bercanggah jika hendak dibandingkan dengan kenyataan KPM yang menegaskan garis panduan berkaitan dana dan sumbangan oleh syarikat arak, rokok, judi dan sebagainya akan terus diguna pakai seperti sebelum ini.

“Tidak ada langsung perkataan ‘tidak terpakai’ seperti yang disebut oleh Thulsi ini. Sebaliknya Mesyuarat Jemaah Menteri juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) seperti yang telah diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu.

“Jadi mengapa cuba jadi hero dalam kalangan penyokong, pengundi kamu? Mengapa kelirukan umum? Adakah mahu memutar belit isu ini dan menonjolkan diri seolah-olah parti DAP telah berjaya mengubah garis panduan yang telah lama diamalkan dalam sistem pendidikan kita?

“Mengapa keruhkan isu ini secara berterusan? Pengerusi DAP, Lim Guan Eng marah kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kononnya beliau berpendirian seiring dengan Pas. Hentikanlah berpolitik demi kepentingan rakyat.

“Anda bukan lagi pembangkang tetapi kerajaan,” katanya hari ini dalam kenyataan.

Kata Arvind, dalam kenyataan sebelum ini, pihaknya sudah membangkitkan kepada DAP terutama Thulsi bagaimana menangani isu golongan muda India yang terjebak dengan penggunaan arak atau judi dan isu-isu lain.

Bagaimanapun beliau kecewa apabila wakil rakyat itu dengan cepat cuba mendiamkan isu itu dengan mendakwa MIC sudah tidak lagi relevan kerana lantang dalam isu berkaitan sumbangan dana syarikat arak kepada sekolah.

“Banyak beza antara kamu dan saya. Anda berjawatan dengan gaji tinggi bekerja untuk rakyat. Saya bekerja tanpa jawatan itu, tanpa gaji dan lain-lain kelebihan untuk melakukan kerja yang anda lakukan.

“Saya jemput Thulsi untuk mengikuti akaun media sosial Pemuda MIC untuk lebih mengetahui sumbangan kami bagi masyarakat selama ini.

“MIC dikatakan tidak relevan tetapi apabila memerlukan bantuan jentera ketika pilihan raya, pandai pula memuji melangit? Ingat lagi bagaimana segelintir bekas pemimpin DAP mengkritik parti anda?

“Ketika itu, pimpinan tertinggi anda memuji Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran bagaimana pula masa itu relevan? Hentikan hipokrit murahan seperti ini semata-mata untuk memenangi penyokong dan pengundi kamu,” katanya.

Dalam pada itu, Arvind meminta Thulsi dan parti DAP tidak riak kerana mendapat sokongan dan undi tinggi ketika pilihan raya umum.

“Jangan angkuh, MIC  bukan ditolak kerana pengundi suka DAP, mungkin esok lusa rakyat sama mengundi kamu akan menolak anda tidak menunaikan janji-janji anda.

“MIC akan pegang teguh prinsip tembakau dan alkohol tidak sepatutnya dibenarkan dalam sukan dan sekolah kerana kami memahami kesukaran dihadapi oleh masyarakat dalam menangani golongan muda terjebak dengan alkohol dan jenayah berkaitan alkohol,” ujarnya. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top