mhafis@mediaprima.com.my
Subang Jaya: Laporan analisis toksikologi tujuh mangsa termasuk empat mangsa meninggal dunia semasa menghadiri konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway di sini, 31 Disember lalu disahkan mengandungi kandungan dadah.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan sudah diterima daripada Jabatan Kimia minghu lalu di mana darah kesemua mangsa mengandungi kandungan dadah dan dirujuk ke pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan laporan penuh.
Menurutnya,setakat ini, pihak polis sudah merakam keterangan 52 orang saksi.
“Status seorang lagi mangsa lelaki berusia 30 tahun di PPUM masih belum diambil keterangan dan menunggu kebenaran dari pihak PPUM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, polis sudah merakam keterangan seorang individu yang dirawat di PPUM bagi membantu siasatan kes kematian empat pengunjung konsert ambang tahun baharu.
Wan Azlan dilaporkan berkata, individu berkenaan yang sebelum ini menerima rawatan di PPUM sudah dibenarkan pulang dan keterangannya diambil pada 8 Januari lalu.
Terdahulu media melaporkan, siasatan awal polis mendapati empat mangsa yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert itu disyaki terbabit dalam pengambilan ekstasi.
Pihak penganjur kemudian tampil dengan kenyataan bahawa mereka sudah mengambil pelbagai langkah keselamatan seperti kehadiran lebih 100 anggota polis, menempatkan anggota keselamatan terlatih dan unit K9 di semua pintu masuk, serta akan memberikan kerjasama penuh kepada polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd