KUALA TERENGGANU: Kewujudan kawasan lapang seolah-olah daratan baharu di Kampung Tanjung Batu Rakit di sini, bukanlah perkara luar biasa sebaliknya fenomena alam yang sering berlaku setiap tahun selepas Monsun Timur Laut atau tengkujuh menuju penghujungnya.
Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, semasa fasa luruhan monsun 2024-2025 berakhir, kadar hakisan pantai menjadi semakin perlahan menyebabkan pasir mula ‘kembali’ ke pantai sedikit demi sedikit.
“Secara semula jadi, lebih banyak pasir kembali ke pantai ketika musim tenang, iaitu semasa Monsun Barat daya.
“Apabila angin bertiup perlahan, lambakan pasir ini membentuk semula gumuk pantai dan inilah yang terjadi di beberapa kawasan Pantai Batu Rakit pada masa ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, tular video kononnya timbul daratan baharu di kawasan pantai tersebut yang menjadi tumpuan orang ramai terutama kanak-kanak untuk beriadah sebelah petang.
Effi Helmy berkata, hakisan yang berlaku setiap tahun adalah lumrah alam dan secara tidak langsung memberi kesan terhadap bentuk muka bumi di kawasan terlibat.
“Apabila hakisan berlaku, akan ada pantai yang perlu ‘dikorbankan’. Ini kerana akan wujud satu kawasan yang menjadi tanjung dan satu lagi kawasan menjadi teluk.
“Walaupun kawasan yang menjadi teluk ini menerima impak hakisan yang lebih tinggi, ia berhenti juga dalam keadaan yang optimum untuk memperlahan tenaga ombak di kawasan teluk tersebut,” katanya.
Menurutnya, pantai yang berteluk itu akan kembali kepada keadaan asal sedikit demi sedikit selepas musim MTL.
“Namun, ada syaratnya iaitu jangan lakukan apa-apa seperti meletakkan batu benting di kawasan teluk tersebut. Langkah itu hanya menyebabkan tenaga ombak di kawasan tersebut berpindah di kawasan bersebelahan dan akan mengakibatkan kawasan hakisan yang baharu.
“Ia tidak akan berhenti di situ dan kerana itu saya tekankan lagi keperluan untuk kerajaan negeri memilih kawasan mana yang boleh ‘dikorbankan’.
“Pastikan ia tidak mempunyai nilai hartanah yang tinggi atau kediaman penduduk untuk mengurangkan kerugian dan sebagai langkah mengawal hakisan secara semulajadi,” katanya.-UTUSAN.