'Dari awal urus kes FELDA, kita tak pernah sentuh UMNO' – Dr Azman

'Dari awal urus kes FELDA, kita tak pernah sentuh UMNO' – Dr Azman

'Dari awal urus kes FELDA, kita tak pernah sentuh UMNO' – Dr Azman


nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur : UMNO tidak perlu berasa tersinggung dengan tindakan kerajaan negeri dalam menguruskan isu tanah FELDA, kerana fokus utama kerajaan sejak awal adalah penyelesaian teknikal dan perundangan, bukan politik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim, menegaskan bahawa sejak kerajaan negeri memulakan proses menuntut hak, tidak ada satu pun kenyataan yang mensasarkan UMNO.

“Saya pun tak faham kenapa UMNO rasa tersakiti. Dari awal menguruskan kes FELDA ini, kita tak pernah langsung sentuh UMNO. Malah kita berterima kasih dengan kenyataan bekas Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said).

“Datuk Seri Ahmad Said maklumkan, zaman dia mentadbir dulu, tanah seluas kira-kira 15,000 hektar yang diberi kepada FELDA tak ada hak milik.

“Bila tak ada geran hak milik, ia bermakna tanah itu masih berstatus tanah kerajaan. Mantan MB sendiri menyebut FELDA membangunkan tanah secara haram, lebih keras daripada istilah saya yang hanya mengatakan FELDA menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran sah.

“Walau ada usaha untuk nak ‘cover’ balik dengan laporan polis dan pelbagai penafian, hakikatnya kenyataan bekas MB ‘straight forward’ saja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Azman menegaskan bahawa peraturan tanah tidak pernah berubah, baik ketika pentadbiran terdahulu mahupun sekarang, dan syarat yang tidak dipatuhi FELDA sejak dulu kekal belum dipenuhi sehingga kini.

Beliau berkata, fokus kerajaan negeri sejak awal adalah untuk menyelesaikan isu dengan FELDA dan tidak pernah sekalipun mengeluarkan kenyataan yang mengajak UMNO berkonfrontasi.

“Malah kita berterima kasih atas usaha perundingan yang telah dimulakan oleh pemimpin UMNO dulu. Berulang kali saya nyatakan, kita hanya menyambung kerja yang belum selesai,” katanya.

Dr Azman berkata, beliau tidak memahami mengapa UMNO merasakan penyelesaian isu itu akan menjejaskan imej parti berkenaan.

Malah dakwa beliau, tindakan itu seolah-olah menunjukkan keinginan untuk melihat PAS terus terbelit dengan isu.

“Kalau begini cara berfikir, banyak lagi awak belah sana kena belajar berpolitik,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini, Dr Azman berkata, tindakan tegas kerajaan negeri menghantar Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN) membuka ruang baharu penyelesaian apabila pengurusan tertinggi FELDA kembali ke meja rundingan.

Beliau berkata, banyak persetujuan awal disepakati secara dasar dan FELDA menunjukkan keseriusan untuk menyelesaikan isu lapuk itu segera.

“Beberapa tuntutan kerajaan negeri telah dibincangkan seadilnya. Bila situasi ini wujud, maka apakah ia suatu keadilan untuk kerajaan negeri terus berkeras dan bertegas tanpa kompromi? Jawabnya, tidak!

“Langkah menyambut perdamaian dari kerajaan negeri ialah dengan menimbang permohonan FELDA untuk menyambung tempoh remedi dan memberikan keizinan untuk FGV mengoperasikan semula ladang walaupun Notis 425 KTN masih berkuatkuasa.

“Dalam berunding, kita perlu ada sikap memberi dan menerima. Kalau sikap ‘keras keng’ itu tak dinamakan berunding,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top