Dari Harimau Malaya ke padang sekolah: Gopi Rizqi gilap bakat muda

Dari Harimau Malaya ke padang sekolah: Gopi Rizqi gilap bakat muda


SENTUHAN jurulatih, bekas pemain bola sepak kebangsaan Mohammad Gopi Rizqi bersama bekas jurulatih penjaga gol Johor, Omar Salim menjadi pemangkin pembangunan bakat bola sepak dalam kalangan pelajar sekolah di daerah ini.

Dalam tempoh lima bulan, latihan dikendalikan Gopi bersama Pertubuhan Kebajikan Generasi Pontian telah diadakan di beberapa padang sekolah sekitar Benut dan Pekan Nanas.

Menurut Gopi, asas yang kukuh dan komunikasi berpasukan amat penting bagi memastikan pemain muda mampu melangkah lebih jauh.

“Mereka perlu belajar lebih banyak lagi tentang asas untuk menjadi pemain bola sepak yang mampu bersaing.

“Apa yang jurulatih cakap mesti ikut, perlu ada kesungguhan dan latihan berterusan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Benut pada Sabtu.

Peserta merakam kenangan bersama bersama sijil penyertaan selepas sesi latihan di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Benut pada Sabtu.

Beliau berkata, program itu juga membuka peluang kepada pelajar mendalami pelbagai posisi termasuk sebagai penyerang, malah ada yang mula menunjukkan potensi untuk diketengahkan ke peringkat daerah.

Walaupun sibuk mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual popia carbonara dan minuman, Gopi yang memiliki lesen kejurulatihan D FAM tetap bertekad mencurahkan pengalaman serta membimbing pelajar sekolah agar dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam bola sepak.

Dalam pada itu, Gopi turut merancang menubuhkan sebuah akademi bola sepak sebagai platform latihan yang lebih sistematik.

Terdahulu, semasa zaman kegemilangannya, Gopi bermain bersama beberapa pasukan seperti Pahang (2010–2015), Selangor (2016), JDT (2017–2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019) dan Pahang (2020). Beliau turut menyarung jersi Harimau Malaya bermula 2012 hingga 2015.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Generasi Pontian, Noor Saiful Amri Suloh, berkata kehadiran Gopi memberi suntikan semangat kepada kanak-kanak seawal usia enam tahun untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

“Penyertaan diterima cukup luar biasa. Kali pertama latihan diadakan di Benut, seramai 100 peserta mengambil bahagian.

“Kita juga mendapat kerjasama baik daripada pihak sekolah dan ibu bapa. Latihan akan diteruskan sehingga Disember bagi memberi peluang lebih ramai anak-anak mendapat bimbingan Gopi,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Sentuhan jurulatih bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohammad Gopi Rizqi bersama bekas jurulatih penjaga gol Johor, Omar Salim, membawa kemajuan dalam pembangunan bakat bola sepak pelajar sekolah
  • Latihan disediakan oleh Gopi di beberapa padang sekolah di Benut dan Pekan Nanas sejak lima bulan lalu
  • Gopi menekankan pentingnya asas yang kukuh dan komunikasi berpasukan untuk kejayaan pemain muda
  • Program latihan membolehkan pelajar mempelajari pelbagai posisi dalam bola sepak dan ada yang mula menunjukkan potensi untuk ke peringkat daerah
  • Gopi, yang berpengalaman luas dalam bola sepak, merancang untuk menubuhkan akademi bola sepak bagi latihan yang lebih sistematik



Source link

OR

Scroll to Top