Bekas atlet karate negara, Shaharudin Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai Saha Champ, 37, tidak menyangka pembabitannya dalam filem Tiket Sehala membuka laluan rezeki lebih luas dalam industri perfileman tempatan.
Menurut Saha, tawaran membintangi karya terbitan Key Billions itu terasa seperti satu mimpi indah yang menjadi realiti.
“Saya benar-benar tidak menjangka akan dipilih untuk Tiket Sehala. Lebih mengujakan apabila ramai pelakon berbangsa India yang hebat dan berpengalaman turut menghadiri uji bakat bagi watak Roshan,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pelakon Anita Permata Sari kerana mencadangkan namanya kepada pihak produksi.
Meskipun sudah lebih sedekad aktif sebagai pelakon untuk drama dan filem Tamil tempatan, Saha mengakui peluang memasuki pasaran filem Melayu bukan sesuatu yang mudah, malah banyak bergantung kepada tuah dan rezeki.

Beliau turut menyebut kejayaan beberapa rakan seperjuangan seperti Sangeeta Krishnasamy dan Theebaan G yang lebih awal menembusi industri filem Melayu selepas lama berkecimpung dalam produksi Tamil.
“Jurulatih saya, legenda karate negara Dato’ Shihan P. Arivalagan banyak memberi dorongan selepas saya lulus uji bakat Tiket Sehala. Lebih menggembirakan, kejayaan ini membuka dua lagi tawaran filem baharu yang bakal menjalani penggambaran awal tahun depan,” katanya teruja.
Saha bukan nama asing dalam arena sukan tanah air. Sepanjang 27 tahun bergelar atlet karate, beliau pernah meraih pingat emas, perak dan gangsa di lima edisi Sukan SEA serta lima lagi pingat dalam Kejohanan Karate Asia.
Dia juga memegang rekod Malaysia Book of Records sebagai atlet karate lelaki paling lama beraksi di peringkat kebangsaan selain mencipta kebanggaan apabila tersenarai dalam Guinness World Records melalui penyertaan terbesar dalam demonstrasi karate di India awal 2025.






