Dari Malaysia Ke Hollywood: ‘Pavane for an Infant’ Ke OSCARS 2026

Dari Malaysia Ke Hollywood: ‘Pavane for an Infant’ Ke OSCARS 2026


Filem cereka tempatan Pavane for an Infant telah dipilih secara rasmi untuk mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi (OSCARS) ke-98 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 2026.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkata, filem berkenaan akan berentap dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik (Best International Feature Film).

FINAS berkata, pemilihan berkenaan telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) FINAS yang dianggotai oleh barisan profesional dan berpengalaman dalam industri perfileman.

Salah satu babak dalam Pavane for an Infant

“Penilaian dibuat berdasarkan kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS),” kata FINAS dalam kenyataan.

Filem arahan Chong Keat Aun dan terbitan Janji Pictures Production Sdn. Bhd. itu dibintangi oleh Fish Liew sebagai Lai Sum; Natalie Hsu sebagai Siew Man; Ben Yuen sebagai Keong; Pearlly Chua sebagai Kam, bersama Yuan Teng, Jasmine Suraya Chin dan Tan Mei Ling.

Ia mengisahkan Lai Sum yang bekerja di sebuah pusat baby hatch di Kuala Lumpur dan apabila Siew Man (seorang remaja hamil di luar nikah) muncul dalam kesusahan, usaha Lai Sum untuk membantunya membawa mereka berdua terperangkap dalam arus patriarki dan kuasa teokratik yang mengancam nasib mereka.

Filem Pavane for an Infant sebelum ini telah meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Youth Jury Award di 39th Fribourg International Film Festival 2025 serta Golden Silk Road Award (Best Screenplay) di 12th Silk Road International Film Festival.

Pavane for an Infant telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa

Selain itu, karya tersebut turut ditayangkan dan bertanding di beberapa festival filem berprestij dunia seperti 49th Hong Kong International Film Festival (2025), 44th Istanbul International Film Festival (2025), 24th New York Asian Film Festival (2025), Taipei Golden Horse Film Festival (2024) serta 37th Tokyo International Film Festival (2024) yang menjadi tayangan perdana dunia dalam kategori Asian Future Competition.

FINAS berkata, pemilihan ini mencerminkan potensi besar sinema tempatan yang semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“FINAS akan terus komited memperkasakan bakat dan karya tempatan agar terus cemerlang di pentas dunia,” tambah kenyataan itu.






Source link

OR

Scroll to Top