Dari pakar sepakan percuma ke ketua jurulatih

Dari pakar sepakan percuma ke ketua jurulatih


BEKAS pakar sepakan percuma Brentford, Keith Andrews, kini menggalas tanggungjawab besar sebagai pengendali baharu The Bees.

Pelantikan Andrews dengan kontrak selama tiga tahun itu menyusul selepas pemergian Thomas Frank ke Tottenham Hotspur.

Andrews menyertai Brentford pada musim panas lalu sebagai sebahagian daripada barisan kejurulatihan Frank, dengan fokus utama kepada aspek sepakan mati.

Sebelum ini, beliau pernah menimba pengalaman sebagai staf kejurulatihan di Sheffield United, MK Dons dan pasukan kebangsaan Republik Ireland.

Pelantikan ini merupakan langkah sulung dalam dunia pengurusan pasukan buat jurulatih kelahiran Ireland berusia 44 tahun itu.

Pemilik Brentford, Matthew Benham, dilaporkan turut mempertimbangkan beberapa calon luar termasuk Kieran McKenna dari Ipswich Town dan Francesco Farioli yang meninggalkan Ajax bulan lalu, sebelum memilih Andrews sebagai ketua jurulatih baharu.

Keputusan Benham untuk menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Andrews mungkin dianggap berisiko, namun mencerminkan kesinambungan falsafah kelab yang mengutamakan pembangunan dalaman.

Tradisi tersebut pernah berlaku pada 2018 apabila Thomas Frank dinaikkan pangkat daripada pembantu jurulatih kepada ketua jurulatih selepas Dean Smith berhijrah ke Aston Villa.

Ketika itu, Frank memiliki pengalaman sebagai pengendali Brondby selama hampir tiga tahun serta mengurus pasukan remaja Denmark.

Kini, Andrews mengambil alih Brentford dalam tempoh yang agak bergelora di Stadium Komuniti Gtech.

Sementara itu, penjaga gol Republik Ireland, Caoimhin Kelleher, telah tiba dari Liverpool bagi menggantikan penjaga gol Belanda, Mark Flekken, yang berhijrah ke Bayer Leverkusen.

Dalam perkembangan lain, spekulasi perpindahan terus melingkari kelab apabila pemain tengah Denmark, Christian Norgaard, dikhabarkan bakal menyertai Arsenal.

Penjaring terbanyak Brentford musim lalu, Bryan Mbeumo, juga menjadi tumpuan selepas Manchester United dilaporkan telah meningkatkan tawaran mereka kepada £60 juta.



Source link

OR

Scroll to Top