Dari Pentas AJL ke PICC, Rayme Zainal Bawa Aina, Ernie, Khai, Amir & Nabila Meriahkan Putrajaya!

Dari Pentas AJL ke PICC, Rayme Zainal Bawa Aina, Ernie, Khai, Amir & Nabila Meriahkan Putrajaya!

Dari Pentas AJL ke PICC, Rayme Zainal Bawa Aina, Ernie, Khai, Amir & Nabila Meriahkan Putrajaya!


Penyanyi dan usahawan Rayme Zainal bakal membawa barisan artis ternama, antaranya finalis Anugerah Juara Lagu iaitu Aina Abdul, Ernie Zakri, , Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali ke Putrajaya.

Bakal mengadakan festival Ramadan dan Aidilfitri terbesar di Putrajaya, Gema Raya Putrajaya 2026 @ PICC bertempat di puncak bukit Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, acara ini bakal berlangsung selama 33 hari bermula 15 Februari sehingga malam raya dan disenaraikan sebagai antara festival Ramadan Raya paling dinanti tahun ini.

Turut sama memeriahkan pentas ialah Bella Astillah, juara sulung Raise The Star Malaysia, Didie Shazry serta kumpulan Alpha yang lahir daripada program Big Stage Alpha.

Rayme yang merupakan Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd. Berkata, kehadiran artis bertaraf popular diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung sepanjang festival berlangsung.

“Kami mahu pastikan pengunjung dapat pengalaman terbaik. Kehadiran artis terkenal bukan saja memeriahkan suasana, malah membantu peniaga menarik pelanggan untuk datang membeli-belah di PICC,” katanya.

Menurut pelantun lagu Tiada Lagi Esok itu, pembabitan penyanyi gred A yang pernah memenangi pelbagai anugerah turut menjadi penanda aras kepada reputasi dan kesinambungan penganjuran festival itu pada masa depan.

Rayme turut menjelaskan keistimewaan Gema Raya Putrajaya bukan sekadar hiburan pentas semata-mata, sebaliknya menampilkan konsep iftar dan moreh di puncak bukit yang memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Orang ramai bukan datang untuk beli-belah saja. Mereka boleh berbuka puasa, menikmati moreh dan bersantai sambil melihat panorama Putrajaya dari atas bukit.

“Kami mahu suasana yang lebih tenang supaya pengunjung dapat rehatkan minda dan luangkan masa berkualiti dengan keluarga serta rakan,” ujarnya.

Tambahnya, pemilihan PICC dibuat kerana lokasi ikonik itu mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa, ruang berhawa dingin yang luas serta kawasan terbuka yang sesuai untuk aktiviti santai dan berbuka puasa.

Dalam masa sama, festival ini turut menjadi platform kepada artis untuk berinteraksi lebih dekat dengan peminat dalam suasana Ramadan dan Syawal yang lebih eksklusif.

Gema Raya Putrajaya 2026 dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Festival ini menggabungkan elemen keusahawanan, seni budaya, program kerohanian dan aktiviti kebajikan komuniti dengan hampir 300 vendor terlibat serta sasaran kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.

Rayme memaklumkan sambutan peniaga juga amat menggalakkan apabila lebih 150 lot niaga telah habis ditempah sejak Disember lalu, manakala baki lot dijangka terjual dalam masa terdekat.

“Kami lihat minat peniaga sangat positif. Ini sekali gus menepis tanggapan bahawa bazar tahun ini kurang meriah. Malah sambutan jauh lebih baik daripada jangkaan,” katanya.

Pada masa sama, syarikatnya kini giat menjalin kerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan, syarikat swasta dan yayasan sebagai rakan strategik serta penaja.

Katanya lagi, jenama Raydiates yang ditubuhkan pada 2023 semakin mendapat kepercayaan selepas diberi peluang menguruskan beberapa acara berskala besar melibatkan sektor awam dan swasta.

Sebelum ini, Raydiates turut mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal sempena Festival Ramadan Putrajaya 2025 yang berjaya menarik lebih sejuta pengunjung sepanjang tempoh penganjuran. Malah ada peniaga merekodkan jualan mencecah RM100,000, menjadikan bazar itu antara destinasi utama persiapan raya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung jadual persembahan, penyertaan vendor dan aktiviti sepanjang festival boleh melayari laman web rasmi Gema Raya Putrajaya.





Source link

OR

Scroll to Top