PENGENDALI Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana, Puchong, Mohd Faiz Ghazali mahu anak buahnya turun ke pentas akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) 2025 menentang SMK Meru, Klang di Stadium Matsushita Panasonic, Seksyen 21 Shah Alam pada Sabtu dengan semangat bebas tekanan dan berani mencipta sejarah sendiri.
Berdepan pasukan pilihan seperti SMK Meru, Faiz mengakui ramai melihat Putra Perdana sebagai ‘underdog’, namun beliau menegaskan label itu menjadi sumber kekuatan buat pasukannya yang turut dibantu Sukri Jaafar.
“Semua tekanan sebenarnya berada di pihak SMK Meru. Kami tidak ada apa-apa untuk hilang, sebaliknya segala-galanya untuk dimenangi. Itu memberi kebebasan kepada pemain untuk beraksi tanpa beban jangkaan tinggi,” katanya ketika ditemui menjelang perlawanan akhir.
Faiz yang terkenal dengan pendekatan taktikal berani mendedahkan pihaknya akan menyesuaikan strategi dengan kekuatan lawan, namun kekal berpaksikan disiplin dan kecekapan bertahan.
“Kami akan guna strategi tekanan tinggi di zon tengah bagi mengganggu corak hantaran SMK Meru dan memaksa mereka melakukan kesilapan atau hantaran jauh yang kurang tepat.
“Pada masa sama, kami akan buat kawalan individu terhadap pemain utama mereka dan pastikan benteng pertahanan kekal kompak serta berdisiplin menutup ruang di kawasan D,” jelasnya kepada Sukan Sinar.
Mohd Faiz bersama barisan jurulatih dan pemain SMK Putra Perdana saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2025.
Dalam menghadapi jadual padat sepanjang kejohanan, Faiz turut menitikberatkan aspek kecergasan dan pemulihan pemain muda kendaliannya bagi memastikan mereka berada pada tahap optimum menjelang aksi kemuncak.
“Kami pastikan pemain cukup rehat, makan makanan berkhasiat, tidur awal dan lakukan proses pemulihan seperti rendaman ais selepas perlawanan. Semua ini penting supaya mereka kekal segar untuk aksi final,” katanya.
Faiz juga menyanjung tiga tonggak utama pasukan Muhammad Ammar Mifza Mohd Nizar; Afif Ziqri Khairul Anuar dan Johan Imran Ridzuan yang dianggap bukan sekadar pemain penting di atas padang tetapi turut menjadi tunjang kepimpinan dan penggerak semangat rakan sepasukan.
“Tiga-tiga ini memiliki disiplin yang tinggi, sikap positif dan karakter yang mantap. Mereka banyak bantu menguatkan semangat rakan sepasukan dalam situasi sukar,” tambahnya.
Mengimbas perjalanan getir ke final, Faiz mengakui pasukannya telah melalui pelbagai cabaran dan detik sukar yang benar-benar menguji ketahanan mental pemain muda itu.
“Bila hadapi situasi sukar, ada ketika pemain mula ‘down’ dan hilang semangat. Tapi sebagai jurulatih, saya tak boleh tunjuk lemah. Saya kena kekal bersemangat supaya mereka dapat ikut rentak saya.
“Saya selalu pesan, kita berjuang bukan hanya untuk diri sendiri, tapi untuk ibu bapa, guru dan rakan-rakan. Menang kalah bukan kita tentukan, tapi usaha hingga tamat itulah yang buat orang bangga,” katanya.
Menjelang 70 minit paling penting dalam karier remaja mereka setakat ini, Faiz menitipkan pesanan terakhir yang cukup mendalam buat anak buahnya.
“Saya hanya pesan satu perkara – cipta sejarah kamu sendiri. Tiada apa yang mustahil kalau kita percaya dan berjuang sepenuh hati.
“Turunlah ke padang dengan semangat, demi maruah, demi keluarga, rakan-rakan, guru dan semua yang kamu sayang. Berjuang sampai habis,” ujarnya.
Sebagai rekod, juara edisi 2025 akan menerima RM8,000 dan medal, naib juara RM6,000 dan medal, ketiga menerima RM4,000 dan medal dan keempat RM2,000 dan medal
Kejohanan mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.
ROAD TO FINAL PIALA MOKHTAR DAHARI B-15 SMK PUTRA PERDANA, PUCHONG
KUMPULAN D
SMK Putra Perdana 0 – 1 SMK Bandar Tun Hussein Onn ( 2 )
SMK Putra Perdana 2 – 0 SMK Kota Kemuning
SMK Putra Perdana 2 – 0 SMK TTDI Jaya
* Putra Perdana mara dengan status Juara Kumpulan D
PUSINGAN 16
SMK Putra Perdana 1 – 1 SMK Kuala Kubu Bahru
* SMK Putra Perdana menang penalti 3 – 0
SUKU AKHIR
SMK Putra Perdana 0 – 0 SMK Bandar Baru Bangi
* SMK Putra Perdana menang penalti 3 – 2
SEPARUH AKHIR
SMK Putra Perdana 2 – 1 SMK Taman Melawati
Ringkasan AI
- PENGENDALI SMK Putra Perdana, Mohd Faiz Ghazali, ingin anak buahnya bermain tanpa tekanan dan berani mencipta sejarah di final Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 menentang SMK Meru
- Mohd Faiz menganggap status ‘underdog’ sebagai sumber kekuatan dan membebaskan pemainnya dari tekanan
- Beliau akan menyesuaikan strategi dengan fokus pada disiplin bertahan dan mengganggu corak permainan lawan
- Aspek kecergasan dan pemulihan pemain ditekankan untuk memastikan mereka dalam keadaan optimum
- Faiz menyanjung tiga tonggak utama pasukannya sebagai pemain kunci dan penggerak semangat rakan sepasukan