Dari RM300 Sebulan ke PhD: Bagaimana Sokongan Seorang Pemimpin Mengubah Hidup OKU

Dari RM300 Sebulan ke PhD: Bagaimana Sokongan Seorang Pemimpin Mengubah Hidup OKU


Dua tahun lalu, Noorilham Ismail atau Ilham hidup dengan bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebagai seorang OKU penglihatan, setiap langkahnya bergantung kepada isteri, Zarifah Arsani, yang sanggup menjadi pembantu sepenuh masa.

Dialah yang memandu, membacakan bahan kajian dan memastikan makan minum cukup.

Walaupun ‘struggle’ untuk hidup sehingga kerap ikat perut,  namun satu impian tetap menyala di hati Ilham iaitu meraih PhD di Universiti Malaya (UM).

Kecekalan dan pengorbanan Dr. Noorilham Ismail membuahkan hasil

Menariknya, setiap catatan Facebook Ilham ditutup dengan mantra “Glory glory.”  

Bukan sekadar cakap-cakap kosong, ayat itu mencerminkan hati yang terlatih menghadapi sakit hati, kecewa dan kegembiraan seperti kelab bola yang disayanginya, Manchester United yang tidak selalu menang tapi tetap dicintai.

Perjuangan Ilham akhirnya sampai ke pengetahuan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong melalui bekas pensyarahnya di UM satu ketika dahulu, Dr. Ahmad Kamal.

Dr. Ahmad Kamal yang kini telah bersara juga mengalami masalah penglihatan dan sewaktu belajar di UM, Steven Sim adalah  pembantu pembacaanya.  

Kagum dengan kecekalan Ilham, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu tampil membantu walaupun Ilham bukan dari Kawasan Parlimennya dan juga bukan dari Pulau Pinang.

Beliau membiayai kos peringkat akhir kajian PhD Ilham di Amerika Syarikat dan menambah elaun RM1,000 sebulan setakat kemampuannya.

Bantuan itu bukan sekadar angka. Ia menjadi nafas baharu kepada Ilham dan Zarifah meneruskan perjuangan mereka.

Steven Sim menghadiahkan sehelai jersi Manchester United kepada Dr. Noorilham Ismail

“Dulu anak Felda ini kena reject nak masuk kerja kerana kecacatan penglihatannya,” dedah Steven Sim.

“Tapi hari ini dia berjalan megah menerima ijazah PhD daripada DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Nazrin Shah, Canselor Universiti Malaya,” tambahnya dalam catatan Facebook.

Dua tahun kemudian, pengorbanan dan sokongan itu membuahkan hasil. Dari seorang yang terpaksa ikat perut setiap hari, Ilham kini berdiri megah sebagai pensyarah kanan dalam bidang Sejarah Amerika Syarikat Moden di UM.

Bukan setakat gajinya sudah naik, Ilham berjanji akan menjadi pensyarah yang baik, mendidik anak bangsa tanpa mengira kaum dan agama.

Dalam catatan itu, Steven Sim berkata dua tahun lalu beliau pernah menulis di Facebook: “Ilham, kau benar-benar ilhamku.”

Hari ini, kata Seteven Sim, ucapan itu bertambah: “Glory, Glory, Dr Ilham. Jalan teruih.”

Dr. Noorilham Ismail bersama penyokong kuatnya (dari kiri) Zarifah Arsani (isteri), Salimah Kasim (ibu) dan Steven Sim

Kisah Ilham adalah bukti nyata bahawa dalam kekurangan, ada ketabahan. Dalam gelap, ada sinar. Dan jika hati tidak pernah menyerah, pasti ada glory menanti.

Keperihatinan Steven Sim pula bukanlah luar biasa kerana beliau kerap membantu rakyat dari aspek pendidikan hingga sokongan harian.

Ia sekaligus membuktikan bagaimana perhatian seorang pemimpin boleh mengubah kehidupan seseorang.

Kisah Ilham hanyalah satu daripada banyak cerita inspiratif yang lahir daripada tangan Steven Sim dan mengingatkan kita bahawa, sedikit sokongan boleh membuka pintu kepada masa depan yang luar biasa.






Source link

OR

Scroll to Top