Dari teka-teki ke aksi: Pearly-Thinaah kembali berjuang

Dari teka-teki ke aksi: Pearly-Thinaah kembali berjuang


Pearly (kiri) dan Thinaah mahu fokus untuk meraih gelaran juara pada kejohanan utama termasuk Sukan Olimpik. Foto Bernama.

TIADA apa yang mampu diungkapkan pemain beregu wanita negara, Pearly Tan selain berasa lega apabila ‘drama’ tarik tali kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menemui penamat.

Beliau yang bergandingan bersama M Thinaah turut menyifatkan keputusan menang-menang itu membolehkan mereka memberi fokus sepenuhnya kepada latihan dan mengharungi kejohanan tanpa ‘gangguan’.

Selepas hampir tujuh bulan berteka-teki, pasangan nombor tiga dunia itu menamatkan spekulasi dengan menandatangani kontrak baharu bersama BAM pada Khamis yang menyaksikan mereka kekal bersama badan induk itu sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Kami kini boleh fokus sepenuhnya kepada badminton. Kami berharap dapat mengekalkan prestasi ini untuk semua kejohanan yang kami sertai selepas ini,” kata Pearly.

Biarpun sudah meraih beberapa gelaran pada siri Jelajah Dunia, Pearly-Thinaah masih belum berjaya meraih pingat dalam pertandingan utama seperti Kejohanan Dunia, Sukan Asia atau Olimpik.

Pearly mengakui sedar mengenai cabaran itu dan sentiasa memasang impian untuk menaiki podium pada kejohanan berprestij, namun belum tiba masanya.

“Selama ini, kami sudah cuba sedaya upaya untuk meraih pingat di kejohanan utama, namun malangnya masih belum kesampaian.

“Apapun kami benar-benar berusaha sebaik mungkin dan memberikan segala-galanya untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

Enggan menoleh ke belakang lagi, juara Terbuka Thailand dan naib johan Terbuka Indonesia itu dijadual beraksi pada Terbuka Jepun dari 15 hingga 20 Julai.

Ia kemudian disusuli Terbuka China dari 22 hingga 27 Julai sebelum turun ke gelanggang pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos depan.



Source link

OR

Scroll to Top