syafil.syazwan@hmetro.com.my
Nama Mior Darwish bukanlah asing dalam dunia lakonan tanah air, namun kini bakat cilik ini melangkah setapak lagi dengan menceburi bidang nyanyian.
Keputusan Darwish untuk mencuba nasib dalam dunia muzik hadir dengan satu misi jelas, ingin menghidupkan kembali suasana lagu kanak-kanak yang pernah mewarnai Aidilfitri suatu ketika dahulu.
“Dah lama tak ada lagu daripada penyanyi kanak-kanak seperti Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Elina.
“Jadi saya teringin nak cipta suasana lagu Aidilfitri kanak-kanak dimainkan pada waktu raya macam dulu-dulu dan lahirlah lagu Aduhai Raya, duet bersama Heidi Aleesya hasil ciptaan Farred Zane,” katanya.
Minatnya terhadap muzik bukan sesuatu baharu. Sejak berusia empat tahun, Darwish sudah menunjukkan kecenderungan mendengar lagu-lagu diminatinya berulang kali antaranya, lagu-lagu dari kumpulan hip hop, K-Clique.
Namun, bukan mudah bagi seorang pelakon kanak-kanak untuk membahagikan masa antara lakonan dan persediaan nyanyian.
Menurut Darwish, cabaran utama dalam menyiapkan lagu raya ini adalah menghafal lirik dalam tempoh yang singkat serta menyesuaikan diri dengan proses rakaman yang pertama kali dilaluinya.
“Cabaran waktu rakaman, sebab saya baru pertama kali merakamkan lagu. Jadi, gugup dan juga kena hafal betul-betul tempo muzik nak masuk nyanyi,” katanya.
Pada masa yang sama, Darwish tetap komited untuk terus mengembangkan bakat dalam kedua-dua bidang lakonan dan nyanyian.
Mengenang detik-detik Aidilfitri yang paling bermakna, Darwish tidak dapat melupakan kegembiraan menerima duit raya, menikmati hidangan kegemarannya seperti lemang dan lontong, serta bermain bunga api bersama keluarga.
“Tapi yang paling menarik adalah apabila berkunjung ke rumah saudara, waktu itu jugalah muka kita keluar di TV macam iklan atau telefilem Aidilfitri. Rasa sangat kejap,” katanya.
Bagi Darwish, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga simbol kemenangan selepas sebulan berpuasa.
“Tambahan pula dapat sambut bersama keluarga tersayang dan dapat bermaaf-maafan. Oh jangan lupa juga, lepas sesi bermaaf-maafan, ada sesi bergambar yang akan dijadikan kenangan serta duit raya,” katanya.
Bagi Heidi Aleesya, keputusan untuk menyertai dunia nyanyian adalah satu langkah semula jadi setelah menempa nama dalam bidang lakonan.
Namun, perjalanan menghasilkan lagu Aduhai Raya ini bukan hadir tanpa cabaran. Dengan jadual yang padat, dia terpaksa menghafal lagu dan berlatih dalam tempoh yang sangat singkat sebelum sesi rakaman berlangsung.
“Cabarannya adalah untuk menghafal lagu dan berlatih dalam tempoh yang singkat sebelum rakaman,” katanya.
Berkongsi mengenai pengalaman Aidilfitri, Heidi mengakui bahawa detik paling menyeronokkan adalah mengumpul duit raya, bermain bunga api, dan menonton lakonannya di TV pada hari raya.
“Pengalaman menarik dapat kumpul banyak duit raya, main bunga api dan juga tengok lakonan sendiri di TV dalam drama Puteri Reunion di TV3,” katanya.
“Pengalaman sedih pula, apabila dah tak dapat beraya dengan orang yang dah tiada seperti datuk, bapa saudara dan keluarga terdekat,” katanya.
Dengan bakat yang semakin bersinar, Heidi dan Darwish membuktikan bahawa mereka bukan sahaja mampu menyerlah dalam dunia lakonan, tetapi juga dalam industri muzik tanah air.
Pastinya, perjalanan mereka dalam dunia hiburan masih panjang dan penuh dengan potensi yang menanti untuk diterokai.
© New Straits Times Press (M) Bhd