Dasar Air Negara diperkasa, fokus mitigasi banjir dan pengurusan air mampan

Dasar Air Negara diperkasa, fokus mitigasi banjir dan pengurusan air mampan


nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk memperkukuh pelaksanaan Dasar Air Negara sebagai pemacu kepada transformasi sektor air negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri PETRA Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bagi memastikan bekalan air yang selamat, berdaya maju dan lestari kepada rakyat.

Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja memperkukuh keterjaminan sumber air negara, malah turut mendorong Malaysia ke arah menjadi hab air dinamik yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi, membuka peluang pekerjaan baharu serta memudahcara penyelidikan dan pembangunan.

“Dalam konteks ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memainkan peranan penting dalam memperkasa kerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan ke arah pengurusan air yang bersepadu.

“Transformasi sektor air ke arah pengurusan air yang lebih cekap memerlukan sistem maklumat berintegrasi bagi melindungi keselamatan air dan kemampanan ekosistem demi masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah JPS Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Pada masa sama, katanya, pengurusan sumber air yang cekap dan mampan kekal sebagai antara fokus utama dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) memandangkan isu keterjaminan bekalan air bersih dan perubahan taburan hujan akibat perubahan iklim semakin meruncing.

Katanya, menerusi Teras A7 iaitu Pengukuhan Mitigasi dan Adaptasi Banjir, kerajaan memberi penekanan kepada pelaksanaan strategi yang lebih menyeluruh, bersepadu dan inovatif bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap bencana banjir yang kian kompleks dan berimpak tinggi.

“Tiga strategi utama teras adalah menumpukan kepada penyegeraan pelaksanaan infrastruktur mitigasi banjir melalui pendekatan struktur dan bukan struktur di kawasan berisiko tinggi termasuk pembangunan sistem maklumat berasaskan GIS, peluasan sistem amaran awal berasaskan AI serta pemanfaatan bekas lombong dan kolam rekreasi sebagai kolam takungan.

“Kedua adalah memperkukuh adaptasi banjir menerusi pembinaan rumah terapung, penggunaan bahan kalis banjir dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi di samping kajian skim pembiayaan dan insurans pasca banjir bagi menyokong pemulihan PMKS dan komuniti rentan.

“Teras ketiga adalah pemantapan tadbir urus melalui perancangan guna tanah yang sistematik, penguatkuasaan piawaian pembangunan serta kerjasama dengan kerajaan negeri selain memperkukuh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dan memperluas pendekatan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti,” katanya.

Justeru, Fadillah berkata, PETRA amat mengharapkan JPS terus menjadi peneraju dalam memastikan pengurusan sumber air di Malaysia dilaksanakan secara bersepadu, mampan dan berdaya tahan.

Katanya, JPS juga diharap terus memperkasa peranan sebagai pemudah cara dasar air negara di peringkat negeri dan daerah agar tiada lagi jurang dalam perancangan dan pelaksanaan projek berkaitan air.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top