Dasar pinjaman perumahan diteliti semula, elak jadi beban isi rumah – Ahmad Zahid

Dasar pinjaman perumahan diteliti semula, elak jadi beban isi rumah – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju meneliti semula dasar pinjaman perumahan bagi memastikan pinjaman jangka masa panjang lebih berpatutan tanpa membebankan isi rumah yang kurang berkemampuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar itu akan diteliti bersama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut beliau, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat tersebut yang dipengerusikan beliau hari ini membincangkan berkenaan peningkatan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasan (KDNK) daripada 67.2 peratus pada tahun 2002 kepada 81.2 peratus pada 2022, yang didorong oleh kredit perumahan.

“Kenaikan mendadak dalam sektor hartanah kediaman ini memberi kesan besar kepada pendapatan boleh guna rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, tambah Ahmad Zahid, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut membentangkan status Indikator Kos Sara Hidup 2023 yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 November ini.

Jelas beliau, indikator itu diharapkan dapat membantu dalam penggubalan dasar berkaitan kos sara hidup serta pelaksanaan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Selain itu, tambahnya, mesyuarat sama turut membincangkan pelaksanaan ciri pembayaran bersama (co-payment) dalam produk Insurans dan Takaful Perubatan serta Kesihatan (MHIT) yang mampu menawarkan pilihan yang lebih murah dan fleksibel kepada pengguna.

Ujarnya, langkah itu diharap dapat mewujudkan ekosistem kesihatan yang lebih mampan dan kondusif.

“Semoga segala yang dibincangkan hari ini akan memberi manfaat yang besar dalam menangani isu kos sara hidup seterusnya memperkukuhkan ekonomi rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya. –  MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top