Datuk Seri ditahan, didakwa cederakan jurujual wanita dengan grip pistol

Datuk Seri ditahan, didakwa cederakan jurujual wanita dengan grip pistol


am@hmetro.com.my

Georgetown: Lelaki warga tempatan bergelar Datuk Seri ditahan, disyaki mencederakan jurujual wanita dengan grip pistol di Jalan Kelawei, di sini.

Suspek berusia 41 tahun itu ditahan pada 9.30 pagi, selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur laut, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun, dengan kejadian pada 2.20 pagi kelmarin dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa.

“Mangsa cedera parah pada hidung dan mata selepas dipukul suspek menggunakan objek menyerupai grip pistol. Polis merampas sepucuk pistol, sebuah kelopak serta buku lesen memiliki senjata dan peluru.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Akta Senjata 1960,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika dia dan bersama dua rakan dalam perjalanan menghala Tanjung Tokong. Kereta dipandunya terbabas hingga memasuki lorong tengah tetapi mangsa meneruskan pemanduan seperti biasa.

Dia kemudian menyedari keretanya diekori kereta Mercedes Benz berwarna hitam sebelum ia menghalangnya di hadapan stesen minyak Jalan Kelawai.

Suspek kemudian didakwa memasukkan sepucuk pistol warna keemasan berkilau ke dalam mulut mangsa, selain memukul mangsa sebanyak dua kali di pipi kiri, menggunakan tapak pistol selain memukul muka wanita berkenaan berkali-kali menggunakan tangan hingga patah hidung dan lebam pada mata kiri.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum laporan polis dibuat dan suspek juga didakwa berada di bawah pengaruh alkohol.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top