hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kes kehilangan remaja Britain, David Balisong yang ditemui bersembunyi di hotel murah di Jalan Pudu, di sini, selepas menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu dianggap selesai.
Difahamkan, remaja berusia 17 tahun itu juga dipercayai sudah pulang ke negara asal, hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, remaja itu sudah diserahkan kepada ibunya, semalam dan kes kehilangan remaja terbabit sudah selesai.
Katanya, hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah atau salah laku dalam kes berkenaan.
“Remaja itu sudah diserahkan kepada ibunya selepas pihak polis selesai menjalankan siasatan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, David ditemukan kira-kira 7 malam kelmarin oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas menerima maklumat daripada aktivis masyarakat Uncle Kentang.
Ketika ditemui remaja itu berada dalam keadaan selamat namun kurus selepas kehilangan berat badan kerana hanya menikmati makanan segera sepanjang tempoh menghilangkan diri.
Terdahulu media melaporkan, perselisihan faham dengan keluarga dipercayai punca remaja lelaki warga Britain, David Balisong, melarikan diri ke Malaysia sejak 6 Jun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dipetik berkata, remaja berusia 17 tahun itu ditemukan selamat di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini, Khamis lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd